Azlan Shah membincangkan taktikal pasukan bersama jurutera Honda Asia di GP Malaysia tahun lepas.
Azlan Shah membincangkan taktikal pasukan bersama jurutera Honda Asia di GP Malaysia tahun lepas.

AZLAN SHAH KAMARUZAMAN menjadikan rakan sepasukan, Takaaki Nakagami sebagai inspirasi dan sumber rujukan untuk menghadapi sesi ujian pra-musim kedua yang akan berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol, 18 Feb ini.

Pelumba Honda Team Asia itu percaya tunjuk ajar daripada Nakagami merupakan jalan terbaik untuk beliau merebut mata kejuaraan memandangkan rakan sepasukannya itu pernah menjejakkan kaki di atas podium bersama jentera Kalex musim lepas, jentera serupa yang digunakan Azlan pada musim ini.

Pandangan ini timbul selepas Azlan menamatkan sesi ujian pra-musim pertama dengan catatan terbaik 1:36.955s untuk berada di kedudukan ke-24 keseluruhan sambil Nakagami yang menggunakan jentera edisi 2014 mencatat masa ketiga terpantas, 1:35.337s.

Esteve Rabat dari pasukan Marc VDS Racing Team yang turut menggunakan jentera edisi 2014 mengungguli catatan terpantas Moto2 dengan masa 1:35.155s.

“Nakagami telah beraksi dalam kelas Moto2 sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2011 dan sebelum itu, beliau beraksi selama dua musim di dalam kelas 125GP. Beliau begitu berpengalaman menggunakan jentera Kalex malah pernah menaiki podium, jadi sudah tentu saya berharap dapat mengikut jejak langkahnya. Sasaran saya adalah untuk sentiasa mengutip mata kejuaraan pada musim ini. Saya begitu berharap gandingan ini dapat membantu saya menjadi lebih baik,” jelas Azlan, pelumba tunggal pasukan Honda Team Asia pada musim lepas.

Mengulas prestasi sepanjang tiga hari ujian pra-musim di Valencia, pelumba berusia 30 tahun itu berkata, “Kami masih dalam proses mengenalpasti kekuatan dan kekurangan jentera baharu namun setakat ini, keputusannya sangat positif. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan dan kami berharap dapat mengumpul lebih banyak data diperlukan ketika di Jerez, minggu hadapan.

“Pada masa sama, saya juga perlu bekerja lebih keras untuk menyesuaikan diri dengan casis baharu ini. Saya perlu cepat belajar dan memahami pelbagai jenis pelarasan yang tersedia di samping memahami jenis tayar yang akan digunakan pada musim ini.”

Mengulas tentang perbezaan di antara versi 2013 dan 2014 yang digunakan oleh Nakagami, Azlan berkata, “Saya diberitahu versi terbaharu ini lebih baik namun rasanya casis 2013 ini cukup untuk membantu saya mengutip mata pada setiap perlumbaan. Nakagami merupakan antara pelumba pilihan untuk menggenggam gelaran juara Moto2, jadi saya faham kenapa beliau memerlukan jentera lebih berkuasa. Meskipun begitu, perbezaan ini tidak memadam semangat saya untuk memberikan yang terbaik.”

- Advertisement -