MOHD Zamri Baba memulakan musim 2014 dengan langkah baru apabila menyertai barisan pelumba pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing bagi saingan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) 2014.

Perkara ini disahkan melalui pengumuman tentang strategi dan inisiatif sukan permotoran seluruh dunia Honda Motor Co, Ltd di Jepun, hari ini.

Zamri, 31 tahun, bakal bergandingan bersama bekas pemenang MotoGP dan WSBK, Makoto Tamada dan Mohd Zaqhwan Zaidi.

“Keputusan beralih ke pasukan baru ini bukanlah satu keputusan yang mudah, namun saya berharap tindakan ini dapat mengembangkan lagi karier perlumbaan saya pada masa hadapan,” jelas Zamri. “Keutamaan saya ketika ini adalah untuk membantu pasukan Boon Siew Honda mengekalkan gelaran juara Asia milik mereka pada tahun ini.

Pengumuman tentang strategi dan inisiatif sukan permotoran seluruh dunia Honda Motor Co, Ltd, semalam bertujuan untuk memperluaskan populariti dalam pelbagai disiplin sukan permotoran yang menyaksikan lima pelumba Malaysia berada di dalam senarai.

Selain Zamri Baba dan Zaqhwan Zaidi, pengumuman tersebut turut mengesahkan aksi semusim penuh Azlan Shah Kamaruzaman di dalam saingan Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia dan Zulfahmi Khairuddin di dalam kelas Moto3.

Sasitharen Sukumaran menjadi pelumba kelima Malaysia yang tersenarai dan akan bertanding di dalam saingan SuperSports 600cc ARRC bersama pasukan T. Pro Yuzy Honda.

 

- Advertisement -