Perasmian Sukma XVII Perlis 2014

Perasmian Sukma XVII Perlis 2014

Sukma XVII Perlis 2014 LogoEDISI ke-17 Sukan Malaysia Perlis 2014 (SUKMA XVII) dengan temas Seiring Menuju Kecemerlangan dirasmikan dalam satu majlis gilang gemilang oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Stadium Tuanku Syed Putra, malam ini.

Temasya dwitahunan itu yang kali pertama dianjurkan Perlis itu sudah membuka gelanggang pertandingan sejak beberapa hari lalu sebelum acara penutupnya yang dijadualkan pada 4 Jun ini.

Turut hadir ke majlis perasmian itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk V Saravanan yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dalam ucapannya, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, perpaduan mampu dibentuk menerusi sukan dan menjadi platform terbaik bagi pegawai dan atlet memupuk perpaduan tanpa prejudis.

“Kekalahan bukan untuk selamanya dan anggaplah ia titik untuk kebangkitan mengejar kejayaan,” titahnya.

Sebelum itu, Saravanan yang mewakili Khairy Jamaluddin, berkata seperti penganjuran SUKMA yang menyediakan platform melahirkan atlet muda dan berbakat, SUKMA XVII juga berperanan penting untuk mengetengahkan atlet negara ke pentas antarabangsa, terutama Sukan SEA ke-29 di Singapura pada 2017 nanti.

“Kejayaan sesuatu temasya SUKMA bukanlah diukur kepada kejayaan dan kemeriahan majlis perasmian, sebaliknya kepada kejayaan melahirkan atlet muda dan jumlah rekod baharu yang mampu dicatatkan.

“Saya yakin, kesempatan SUKMA Perlis 2014 ini akan digunakan sepenuhnya oleh setiap kontinjen negeri, terutama untuk mengukur sejauh mana program pembangunan sukan yang dijalankan berjaya atau sebaliknya.

“Kerajaan Pusat komited untuk melihat penganjuran SUKMA berjaya melahirkan atlet supaya dapat diketengahkan ke pentas antarabangsa yang besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan seterusnya Sukan Olimpik,” katanya.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dalam ucapannya berterima kasih kepada semua pihak termasuk sukarelawan yang bersama-sama menjayakan penganjuran temasya berskala besar oleh sebuah negeri kecil seperti Perlis.

“Pada masa sama, saya juga berharap atlet muda dapat menggunakan kesempatan di temasya ini untuk memupuk kerjasama dan silaturahim serta mempamer prestasi cemerlang supaya SUKMA terus melahirkan atlet negara yang mampu memacu nama negara ke persada dunia,” katanya.

Bahang Sukma Perlis 2014 yang dimulakan dengan larian baton di beberapa daerah di negeri itu sebelum ini dan berlanjutan ke malam majlis pembukaan rasmi dengan baton terakhir dibawa bekas-bekas atlet kebangsaan kelahiran Perlis iaitu bekas pemain tenis, Afizal Abu Othman yang menghulurnya kepada Badrol Hisham Basri (ragbi), Musairi Musa (berbasikal), Azhar Ismail (sofbol), Ibrahim Saad (bola sepak), Mustaffa Ibrahim (olahraga), Faiz Musa (angkat berat) dan YB Jamil Saad.

Bemula dengan gimik penerimaan watikah tuan rumah oleh Jamil, konsep perasmian yang mencerminkan sejarah, evolusi, seni dan warna dan dijayakan gabungan peserta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perlis, UniMAP, UiTM Arau, Politeknik Syed Sirajuddin dan pelatih PLKN, menghiburkan kira-kira 20,000 penonton yang membanjiri stadium.

Ia diikuti perarakan membawa masuk bendera dimulakan dengan sekumpulan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diikuti kontinjen Brunei, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan tuan rumah Perlis.

Stadium kemudian bergema dengan nyanyian lagu rasmi SUKMA XVII ‘Seiring Menuju Kecemerlangan’ ciptaan Datuk Mohzani Ismail dan lirik Habsah Hassan, yang dipersembahkan penyanyi Adibah Noor.

Perasmian Sukma XVII Perlis 2014

- Advertisement -