Sukma XVII Perlis 2014 LogoKANGAR – Berakhirlah sudah SUKMA XVII, temasya gilang gemilang menghimpunkan aksi, semangat, kewibawaan dan komitmen jitu atlit-atlit di seluruh negara yang ‘berkampung’ di Perlis sejak 29 Mei hingga 4 Jun 2014.

Malam ini, di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di sini, tirai SUKMA XVII dengan rasminya berlabuh untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Perlis selaku tuan rumah yang melaksanakan temasya tersebut dengan jayanya, menghimpun lebih 5,000 pegawai dan atlet dari seluruh negara termasuk Brunei selaku kontinjen jemputan.

Upacara penutup dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berlangsung penuh warna warni dengan percikan bunga api bergemerlapan menyerikan setiap sudut STSP, stadium yang diberi nama baharu sempena SUKMA XVII bagi menggantikan Stadium Utama Negeri.

Kemunculan artis terkenal tanah air, Amy Search ketika persembahan penutup SUKMA XVII bertemakan ‘Unity, harmony and Peace dengan mendendangkan lagu popularnya `Isabella’ sambil diiringi 500 artis Euphoria yang memegang lampu LED dari laluan bawah pentas ke podium di tengah padang memeriahkan upacara tersebut.

Lebih menarik, persembahan tersebut turut menyerlahkan bakat daripada murid-murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Indera, SRK Putra, Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, SK Santan dan SK Kuala Perlis. Terdahulu upacara tersebut bermula dengan kiraan `count down’ SUKMA XVII selama 25 saat, dikuti maskot temasya, Singa Utara tampil di atas podium dengan kesan khas (special effect) dan perarakan 57 bendera Jalur Gemilang oleh pelatih-pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan 1,000 tenaga sukarela yang berkhidmat sepanjang temasys berkenaan.

Perarakan oleh 15 kontinjen termasuk Brunei yang mengambil bahagian dalam SUKMA XVII menyerikan lagi upacara gilang gemilang itu.

Sebaik perasmian disempurnakan Perdana Menteri, SUKMA XVII mengucapkan `selamat tinggal’ kepada Perlis dengan mencatat pelbagai kenangan, antaranya memori indah kontinjen Wilayah Persekutuan yang muncul juara keseluruhan temasya tersebut dengan pungutan 55 pingat emas, 38 perak dan 49 gangsa.

Najib juga menyampaikan anugerah Olahragawan dan Olahragawati SUKMA XVII yang masing-masing menjadi milik atlit Negeri Sembilan, Muhammad Irfan Shamshuddin (lempar cakera) dan Jelinie Empera (angkat berat) dari Sarawak kerana kejayaan meraih emas dan memecah rekod kebangsaan.’

Turut hadir pada upacara penuh bermakna itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Bendera SUKMA kemudian diturunkan oleh pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diiringi lagu `Semangqat Kita’, lagu rasmi temasya kali ke-17 itu yang dinyanyikan oleh Anis Syazwani sebelum bendera berkenaan diserahkan kepada Menteri Besar Perlis untuk diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zolkples Embong, Wakil tuan rumah SUKMA 2016 iaitu Sarawak, kemudiannya menerima bendera temasya itu daripada Zolkples, diikuti nyanyian lagu ‘Satu Harapan Satu Impian’ oleb Nurul Jannah Abu Seman sebelum pesermbahan daripada 200 penari gabungan sekolah-sekolah, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Jabatan kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.

Sebelum upacara sampai ke kemuncak, Amy Search sempat menyanyikan dua buah lagu, kemudian barulah tiba`grand finale’, persembahan bunga api selama tiga minit sebagai simbolik berakhirnya SUKMA XVII. Selamat tinggal SUKMA XVII, jumpa lagi di Sarawak pada 2016.

- Advertisement -