2

Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) akan meneruskan tanggungjawab mereka dalam memartabatkan bolasepak Piala Emas Raja-Raja (PERR) yang kini menjangkau edisi ke-75 pada tahun ini.

Enam belas pasukan telah mengesahkan penyertaan termasuk tiga pasukan jemputan iaitu Singapura, Putrajaya dan Proton FC.

Edisi tahun ini juga menyaksikan pasukan Pulau Pinang kembali beraksi selepas menyepi beberapa tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, pasukan Johor tidak menghantar penyertaan tahun ini walaupun surat jemputan telah dihantar kepada pihak mereka.

Empat pasukan dipilih sebagai tuan rumah iaitu Selangor, Putrajaya, Proton FC dan Negeri Sembilan.

Venue-venue perlawanan akan diumumkan pasukan tuan rumah tidak lama lagi. Empat lagi pasukan iaitu Perlis, Pahang, Kelantan dan PDRM pula diletakkan sebagai pasukan pilihan berdasarkan kejayaan keempat-empat yang mara keseparuh akhir musim lalu.

Lapan lagi pasukan yang melengkapkan penyertaan ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu,dan Singapura.

Satu majlis undian telah diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Keputusan undian adalah seperti berikut:-

Kumpulan A Kumpulan B Kumpulan C Kumpulan D
Negeri Sembilan (tuanrumah) Proton FC

(tuanrumah)

Putrajaya
(tuanrumah)
Selangor
(tuanrumah)
Perlis PDRM Pahang Kelantan
Pulau Pinang Kuala Lumpur ATM Kedah
Melaka Singapura Perak Terengganu

 

Bagi Naib Presiden PBSMM, Ishsam Shahruddin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, penganjuran kejohanan kali ini meneruskan kesinambungan PBSMM dalam memelihara legasi dan martabat Piala Emas Raja – Raja ini.

“Piala Emas Raja-Raja adalah antara kejohanan bolasepak paling awal dianjurkan di Malaysia dimana pertama kali ianya diadakan pada tahun 1926.

“Trofi kejohanan yang digunakan ketika ini pula adalah pemberian dari empat sultan iaitu Sultan Perak, Al-Marhum Sultan Alang Iskandar Shah Kudusullah; Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah Atikullah; Sultan Pahang, Al-Marhum Sultan Abdullah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad TuankuAntah.

“Maka dengan itu, menjadi tanggungjawab PBSMM untuk memelihara martabat Raja-Raja Melayu sebagai pendokong utama kejohanan ini” jelas beliau.

Kejohanan kali ini turut membenarkan setiap pasukan membariskan 6 pemain profesional yang bermain untuk Liga Super atau Liga Premier selain menggalakkan penyertaan pemain-pemain bukan berbangsa Melayu.

Sementara itu, trofi Piala Agong yang dianggap sebagai Piala Sumbangsih bagi kejohanan ini akan mempertemukan juara PERR 2014, Perlis menentang Perak selaku juara Piala Agong tahun lalu di Kangar pada 14 November ini.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, pengurus Perlis, Prof. Madya Mazelan Abdul Hamid mahu mempertahankan Piala Emas Raja-Raja selain mengubati kekecewaan tewas kepada Perak dalam saingan Piala Agong tahun lalu.

“Kita telah mengekalkan sebahagian besar pemain-pemain yang membantu memenangi kejuaraan musim lalu selain turut menyenaraikan beberapa pemain PialaPresiden dan Liga FAM bagi merealisasikan matlamat ini,” kata Mazlan.

Rakan sejawatnya dari Perak, Joharuddin Johar Ali pula mengakui saingan kali ini bertambah sengit selepas melihat persediaan pasukan-pasukan bertanding yang lain.

“Kita juga dalam perbincangan dengan pengurusan pasukan Perak di Liga Super untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain Perak bagi memantapkan pasukan dalam saingan Piala Emas Raja-Raja tahun ini,” jelas Joharuddin.

Perlawanan peringkat kumpulan Piala Emas Raja-Raja 2015 akan diadakan 20 hingga 22 November diikuti peringkat suku-akhir (29 November & 5 Disember), separuh-akhir (12 & 19 Disember) dan final pada 25 Disember.

- Advertisement -