Football Association of Malaysia (FAM) Logo - 230x250

KENYATAAN RASMI JURULATIH SEMENTARA SKUAD KEBANGSAAN, DATUK ONG KIM SWEE MENGENAI KEMASKINI TERBAHARU RANKING FIFA

“Sudah tentu ia sesuatu yang amat menyedihkan dan mengecewakan semua pihak apabila kedudukan Malaysia dalam ranking terbaharu FIFA, hari ini turun dua anak tangga ke kedudukan tangga 171 dunia, kedudukan terburuk Malaysia dalam sejarah ranking FIFA sejak tahun 1993.

“Tapi pada masa sama, kita bernasib baik juga kerana mempunyai dua perlawanan antarabangsa dalam masa terdekat iaitu bertemu Laos untuk aksi persahabatan A di Bangkok, Thailand pada 8 Oktober ini dan perlawanan kelima Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste di Dili pada 13 Oktober.

“Jadi kita perlu mengambil sepenuhnya peluang daripada dua perlawanan ini untuk mendapatkan seberapa banyak mata ranking yang boleh dan jika kita menang kedua-duanya, sudah tentu kedudukan ranking kita akan dapat diperbaiki dengan baik berbanding kedudukan di tangga 171 ketika ini.

“Harapan saya, dua perlawanan seterusnya bertemu Laos dan Timor Leste ini perlu dijadikan sebagai titik kebangkitan untuk skuad kebangsaan kembali melakar kemenangan selepas kita belum memenangi sebarang perlawanan sepanjang tahun 2015 ini.

“Jika kemenangan mampu dicatat ketika bertemu Laos dan Timor Leste, sudah tentu apabila kemaskini seterusnya ranking FIFA pada 5 November ini akan menyaksikan Malaysia berpeluang untuk memperbaiki kedudukan terburuk tangga 171 ini.

“Ia sekali gus mampu untuk dijadikan suntikan moral terpenting menjelang dua perlawanan berikutnya untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Palestin dan UAE pada 12 dan 17 November ini.

“Kita tak perlu menyalahkan sesiapa tetapi saya selaku jurulatih sementara skuad kebangsaan akan cuba sedaya upaya untuk memperbaiki ranking Malaysia bermula dengan aksi bertemu Laos dan Timor Leste ini.”

DATUK ONG KIM SWEE
JURULATIH SEMENTARA SKUAD KEBANGSAAN
1 OKTOBER 2015

- Advertisement -