20151230-Petaling Jaya BC-Nipitphon Puangpuapech & Woon Khe Wei-009

20151230-Puchong United BC-Andre Kurniawan Tedjono-001

Petaling Jaya BC sekali lagi mengharapkan magis Dato’ Lee Chong Wei untuk mengesahkan kemenangan 13-9 ke atas Puchong United seterusnya mengukuhkan peluang mereka untuk mengulangi pencapaian muncul naib juara aksi Resorts World Genting Purple League 2015.  

Chong Wei yang cemerlang menang 3-0 dalam dua penampilan terdahulunya di Purple League sekali lagi tidak tercabar apabila mudah menewaskan pemain Indonesia, Andre Kurniawan Tedjono 3-0 (11-4, 11-5, 11-5) dan melonjakkan Petaling Jaya ke kedudukan ketiga liga.

Jurulatih, K.Yugendran berkata kemenangan ini cukup penting buat pasukannya untuk mengintai peluang menamatkan liga di kedudukan kedua di belakang Muar City BC.

“Ia perlawanan yang cukup sengit, Puchong begitu hampir untuk memerangkap kita. Mereka menang dua perlawanan pertama dan begitu yakin, tapi kita tangani tekanan dengan baik. Secara keseluruhan ia adalah kemenangan yang penting. Kita sedar untuk mencabar Muar City adalah mustahil dan ketika ini sasaran paling relevan adalah untuk menjadi naib juara.

“Kita hanya memiliki kelebihan cukup tipis ke atas Petaling manakala Cheras juga tidak mahu mengalah. Puchong masih berpeluang mengejar kita jadi perlu terus fokus untuk baki tiga perlawanan,” ujar Yugendran.     

Puchong yang beraksi longlai ketika tewas kepada Serdang BC minggu lalu, tampil dengan aksi yang lebih bertenaga dan meyakinkan tatkala pemain perseorangan lelaki Hsueh Hsuan Yi buat kali pertamanya direhatkan selepas lapan perlawanan, memberi ruang kepada Teck Zhi Soo untuk membuat penampilan sulung di Purple League.

Keputusan jurulatih Puchong United, Jiva Nair menurunkan Zhi Soo nyata tidak mengecewakan apabila pemain muda berusia 20 tahun itu mencuri tumpuan dengan bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Muhammad Hafiz Hashim 3-2 (5-11, 5-11, 11-10, 8-11, 10-11).

Pemain perseorangan wanita dari Jepun, Aya Ohori kemudiannya mengetepikan tentangan sengit Yang Li Lian 3-2 (8-11, 11-7, 11-8, 8-11, 11-9) dan menjadikan kedudukan 6-4 memihak kepada Puchong United.

Petaling Jaya bagaimanapun kembali dalam permainan apabila gandingan beregu campuran, Nipitphon Puangpuapech/Woon Khe Wei menewaskan Lai Pei Jing/Yew Hong Kheng 3-1 11-7, 8-11, 11-9, 11-7) dan menjadikan kedudukan terikat 7-7 sebelum mendahului tipis 10-9 menerusi kemenangan dalam acara beregu lelaki.   

Khe Wei yang turun beraksi dalam perlawanan pertamanya selepas pulang dari bercuti mengakui dia belum berada pada prestasi terbaiknya dan berharap dapat meneruskan momentum kemenangan untuk membantu Petaling Jaya mencapai sasaran muncul naib juara.

“Bagi saya perlawanan ini bukan mudah, saya baru balik dari bercuti dan ini hari pertama main badminton, agak gementar juga. Agak lama tidak turun berlatih, jadi sedikit bimbang, takut alami kecederaan. Sebab itu saya tidak berani untuk all-out. Selepas mendahului 2-1, baru ada keyakinan sikit. Sasaran sekarang mahu bantu Petaling Jaya untuk muncul naib juara sebab Muar City sudah terlalu jauh di depan, susah mahu kejar,” ujar Khe Wei.

Petaling Jaya akan bertemu Cheras bimbingan Rashid Sidek pada Ahad ini dalam apa yang boleh disifatkan sebagai aksi penentu bagi kedudukan kedua-dua pasukan.  

20151230-Puchong United BC-Aya Ohori-013

20151230-Petaling Jaya BC-Nipitphon Puangpuapech & Woon Khe Wei-004

- Advertisement -