100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Beraksi dalam saingan 100PLUS Liga Premier selepas enam musim bergelumang dalam saingan Liga FAM – liga divisyen tiga bolasepak tanah air – pastinya ibarat satu pengalaman berbeza buat Melaka United yang mana bolasepak mereka kembali menjadi satu fenomena ketika ini.

Sepertimana pernah dilalui Kelantan dan Johor Darul Takzim ketika di awal transformasi mereka untuk menjadi kuasa besar bolasepak tanah air, situasi yang sama itulah yang sedang dialami penyokong bolasepak Melaka yang jelas teruja dan ghairah untuk melihat kejayaan berterusan pasukan kesayangan mereka ini.

Kelantan mengambil masa lima tahun selepas menjuarai Piala FAM pada 2005 untuk muncul sebagai pasukan elit Liga-M apabila mara ke final Piala FA dan Piala Malaysia buat kali pertama, sebelum menjuarai Liga Super pada 2010.

Manakala JDT pula memerlukan tiga tahun selepas ditransformasikan Tunku Mahkota Johor untuk mengegar Asia.  

Sejurus kejayaan menjuarai Piala FAM dengan menundukkan Perlis pada perlawanan akhir, Melaka telah melakukan rombakan besar pada barisan pemain dengan hanya mengekalkan beberapa sahaja pemain tonggak, termasuklah penjaring terbanyak mereka Norsyamil Abdul Ghani seterusnya menjadi antara pasukan tumpuan dalam saingan 100PLUS Liga Premier.

Dan selepas berakhir lima perlawanan pertama bagi saingan 100PLUS Liga Premier 2016, Melaka masih berada dalam radar untuk mencipta kejutan seawal musim pertama mereka di Liga Perdana. Skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan, Mat Zan Mat Aris ini menghuni tangga kelima namun mereka hanya dipisahkan dua mata dengan pendahulu, Kuala Lumpur.

Melaka mengutip sembilan mata, terikat dengan Negeri Sembilan, KL DRB Hicom dan PKNS Selangor yang turut mengutip sembilan mata.

Walaupun masih mengekalkan rekod tanpa kalah setelah mencatat dua kemenangan dan tiga keputusan seri, Melaka pada hakikatnya dilihat masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan tahap kompetitif dan taraf aksi Liga Perdana yang jauh berbeza dengan saingan Liga FAM yang mereka harungi selama enam musim terdahulu.

Dua kemenangan  yang mereka rakamkan adalah ke atas PKNS Selangor dan JDT II manakala perlawanan menentang Sime Darby, Negeri Sembilan dan Sabah kesemuanya berkesudahan seri. Manakala dalam saingan Piala FA, Melaka tersingkir pada pusingan awal setelah tunduk kepada Kuala Lumpur.

Dua aksi di gelanggang sendiri menentang Uitm FC dan Kuantan FA menanti mereka apabila saingan liga kembali bersambung pada 4 April depan. Justeru, perkara paling penting bagi skuad sang kancil ini sekiranya berazam mencipta impak segera adalah pantas mencari jalan menyesuaikan diri dengan tempo aksi Liga Perdana.

Para peminat mereka juga sudah tentunya mahukan pasukan kesayangan mereka ini dapat kembali beraksi dalam Liga Super selepas kali terakhir beraksi di liga elit bolasepak tanah air itu pada 2007. Dengan berbaki 17 perlawanan lagi untuk diharungi, masih belum terlewat buat Melaka dan tidak mustahil impian besar peminat mereka dapat direalisasikan.

- Advertisement -