100PLUS.latestKuala Lumpur, pasukan yang sinonim bergelut di zon relegasi sejak lebih sedekad yang lalu dilihat serius di dalam usaha mahu mengembalikan semula zaman gemilang bola sepak mereka dan juga reputasi selaku antara pasukan elit bola sepak tanah air. 

Hakikat itu terserlah apabila skuad warga kota itu melonjak selaku peneraju tidak diduga carta liga setelah berakhir lima perlawanan pertama 100 Plus Liga Premier selain meniti prestasi terbaik dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan – termasuk dalam saingan Piala FA.

Ibarat disuntik tonik dan motivasi baru sejak diambil alih Ismail Zakaria, Kuala Lumpur yang diperkuatkan 100 peratus muka baru memimpin carta Liga Premier dengan 11 mata, dua mata mengatasi empat pasukan di belakang yang berkongsi sembilan mata – Negeri Sembilan, KL DRB Hicom, PKNS Selangor dan Melaka United.

Setelah membuka tirai saingan 100 Plus Liga Premier dengan dua kemenangan tipis ke atas PKNS Selangor dan Johor Darul Takzim II, Kuala Lumpur kemudiannya diikat Negeri Sembilan 1-1 sebelum tampil bertenaga untuk menewaskan pasukan bermasalah, Sabah 3-2.

Sang Helang terlepas peluang melebarkan dominasi di kedudukan teratas kepada empat mata, gara-gara gol penyamaan Pavel Purishkin yang mengikat mereka 1-1 ketika menentang Uitm FC pada aksi terakhir sebelum aksi liga berehat panjang selama hampir tiga minggu.

Meskipun masih terlalu awal, tidak mustahil Kuala Lumpur boleh mengembalikan kemeriahan bola sepak mereka yang suram sekian lama seandainya terus konsisten dan mengekalkan rentak cemerlang untuk menjulang trofi Liga Premier yang kali terakhir mereka menangi pada 1988.

“Pemain-pemain saya ada karakter. Mereka ada disiplin, kemahuan, kesungguhan dan keghairahan. Komitmen ditunjukkan juga cukup tinggi. Cuma saya tidak mahu mereka cepat berpuas hati, terutamanya pemain import. Kadang-kadang kita tengok pemain tempatan bermain lebih bagus dari mereka, jadi saya harap apabila liga bersambung kita akan tampil dengan rentak lebih garang,” ujar Ismail.

Dalam pada tu, Negeri Sembilan pula dilihat perlu tampil lebih kompeten jika berhasrat mencabar kejuaraan 100 Plus Liga Premier dengan serius, berdasarkan prestasi selepas lima perlawanan.  Bekas juara Liga Super itu tersingkir ke Liga Perdana pada 2014 dan menyandarkan harapan kepada Gary Michael untuk memacu pasukan itu kembali sebagai sebuah pasukan digeruni.

Meskipun skuad Hoben Jang Hoben juga tidak tewas dalam lima perlawanan pertama liga musim ini malah mempunyai beza jaringan tertinggi (+7), masih timbul keraguan di kalangan peminat mengenai kekuatan pasukan ini yang kelihatan bergelut untuk mencapai prestasi meyakinkan dan mereka perlu segera bangkit mencari solusi jika tidak mahu dikecewakan sepertimana musim lalu.

Untuk rekod, Negeri Sembilan membuka kempen Liga Perdana musim lalu dengan cukup gah apabila menang tiga daripada empat perlawanan pertama dan berada di kedudukan teratas liga sehingga ke minggu kelima, namun mereka akhirnya akur menamatkan musim di tangga keenam.

Negeri Sembilan akan berdepan Sime Darby apabila saingan liga bersambung pada 4 April depan dan perlu memanfaatkan tempoh cuti panjang ini untuk mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan yang masih ketara wujud agar impian kembali ke Liga Super dapat direalisasikan.

- Advertisement -