padang

Oleh Muhammad Aiman

Fenomena cuaca panas atau el nino yang melanda negara ketika ini menyaksikan beberapa aktiviti sukan terpaksa ditangguhkan atas faktor kesihatan dan keselamatan, ini termasuklah aksi bolasepak Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang ditangguhkan buat minggu kedua berturut-turut.

Pengarah Unit Sukan KPM, Dr. Mehandar Singh berkata pihaknya mengambil serius isu membabitkan keselamatan pelajar dan keputusan untuk menghentikan buat sementara aktiviti sukan luar sekolah dilihat tepat bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko diserang strok haba ataupun dehidrasi.

ā€œIa satu keputusan sukar untuk kami buat, kerana kita sedar ia sudah tentunya mengecewakan buat mereka (pemain) untuk mendapat tahu aksi ditangguhkan lagi tetapi perlu saya tegaskan faktor keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan kami. Dengan keadaan cuaca yang tidak begitu mengizinkan, keputusan ini dilihat wajar dan saya harap keadaan cuaca akan bertambah baik di minggu hadapan supaya kita boleh meneruskan aktiviti seperti biasa,ā€ ujar Dr. Mehandar.

Sementara itu, pengurus pasukan SMK Bukit Nenas dari Terengganu, Nordin Ahmad berkata persiapan pasukannya tidak terjejas dengan pemainnya tetap turun menjalani latihan seperti biasa namun tidak menafikan pemain-pemainnya sedikit terkilan dengan berita penangguhan ini. Ā 

ā€œPada saya, memang ada baiknya ditangguhkan dulu kerana kalau turun beraksi dalam keadaan bahang dan panas terik, susah untuk pemain fokus dan memberi komitmen penuh. Sekarang pun mereka berlatih seperti biasa tapi memang pemain sedikit kecewa sebab mereka sudah berkobar-kobar dan bersemangat tinggi untuk hadapi perlawanan minggu ini,ā€ ujar Nordin yang mana pasukannya SMK Bukit Nenas dijadual bertemu SMK Seksyen 11 Shah Alam minggu ini.

Untuk rekod, aksi Liga KPM yang membabitkan Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia (B-14) dan Liga Piala Remaja KPM-FAM (B-17) ini membuka tirainya pada 5 Mac lalu dan baru berlangsung sebanyak dua perlawanan setelah aksi yang sepatutnya berlangsung pada 26 Mac lalu turut ditangguhkan disebabkan faktor cuaca panas.

SMK Seri Titiwangsa dari Kuala Lumpur merangkul piala pertama yang dipertandingkan musim ini iaitu Piala Perisai Komuniti (Sumbangsih) setelah menewaskan SMK Tunku Anum dari Kedah 1-0 menerusi jaringan tunggal Muhamad Nor Farish Hidayat pada 1 Mac lalu.

Seandainya tiada perubahan pada jadual perlawanan, maka aksi Liga KPM yang seterusnya akan berlangsung pada 9 April (Sabtu) depan.

- Advertisement -