Frost tidak bimbang prestasi semasa Chong Wei

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2016/04/frost-tidak-bimbang-prestasi-semasa-chong-wei">
Twitter
Pinterest

lee-chong-wei

Oleh Muhammad Aiman

Kekalahan terbaru dialami jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei pada aksi pusingan kedua Terbuka India, tidak sedikitpun membimbangkan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia, Morten Frost yang berpendapat masih terlalu awal untuk menekan butang panik meskipun berbaki hanya empat bulan sahaja lagi untuk berlangsungnya Sukan Olimpik Rio De Janeiro.

Chong Wei ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Hong Kong, Wei Nan setelah kecundang 19-21, 19-21 pada aksi Terbuka India yang sedang berlangsung di New Delhi, satu lagi aksi lesu pemain nombor tiga dunia itu selepas disingkirkan pemain tidak ternama dari India, B. Sai Praneeth pada pusingan awal Kejohanan Badminton All England pada Februari lalu.

Namun, Frost berkata ianya adalah satu situasi normal untuk mana-mana pemain mengalami naik turun prestasi dalam perjalanan karier mereka dan keyakinannya tetap utuh betapa pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak dua kali itu akan bangkit tepat pada waktunya.

“Ia mungkin keputusan yang sukar diterima, tetapi saya tidak begitu bimbang. Saya sentiasa katakan bahawa saya yakin dengan kebolehan dia, dan walaupun dengan kekalahan-kekalahan ini saya tetap tidak meraguinya. Keyakinan saya tidak berubah hanya kerana dia tewas satu atau dua perlawanan.

“Saya lihat pada ketika ini bukan sahaja Chong Wei, tetapi ramai pemain terkemuka lain dalam kedudukan ranking tinggi juga tidak konsisten. Lin Dan, Chen Long mahupun Kento Momota juga berdepan masalah untuk mengekalkan prestasi mereka di tahap tinggi. Sebab itu saya tidak bimbang dan bagi saya apa yang ditunjukkan di Rio (Olimpik) nanti adalah pengukur sebenar. Bukan keputusan di All England mahupun Terbuka India,” jelas Frost.

Frost memuji karakter yang ditunjukkan Chong Wei untuk kembali berada di kedudukan tiga terbaik dunia dalam tempoh kurang setahun selepas kembali dari penggantungan yang mana menyaksikan pemain kelahiran Pulau Pinang itu melalui ‘detik gelap’ dalam kariernya digantung selama 8 bulan kerana kesalahan doping.

Di sebalik ramai yang meragui kemampuannya untuk kembali, Chong Wei membuktikan dia adalah pejuang sejati dengan menjuarai Terbuka Perancis, Terbuka China, Terbuka Hong Kong dan Grand Prix Emas Malaysia Masters untuk berada di ranking ketiga dunia.  

Kini, selepas diaibkan di pusingan awal dua kali berturut-turut, Chong Wei berpeluang untuk bangkit menebus semula maruah dan reputasinya di hadapan penyokong sendiri – apabila berlangsungnya Terbuka Malaysia yang bermula pada Selasa depan, di Stadium Malawati Shah Alam.

Menariknya, juara 10 kali Terbuka Malaysia ini akan berdepan Wei Nan pada pusingan pertama. Sebelum kekalahan di Terbuka India, Chong Wei turut kecundang kepada pemain ranking ke-14 dunia itu di Terbuka Denmark tahun lalu dan sudah tentunya Chong Wei tidak rela untuk berputih mata sekali lagi.        

Please follow and like us:
0