ktan.ganu

By Muhammad Aiman

Hasrat Johor Darul Takzim untuk kembali merampas kedudukan teratas Liga Super tidak kesampaian setelah diikat 1-1 oleh Kedah di Stadium Darul Aman.

Harimau Selatan berpeluang untuk melonjak sebagai pendahulu sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam seandainya berjaya mengutip tiga mata di Alor Star, namun mereka bernasib baik untuk pulang dengan satu mata pada ketika maruah JDT diselamatkan sepakan penalti yang disempurnakan Juan Martin Lucero di masa kecederaan babak pertama.

Kedah yang menghadiahkan kekalahan pertama buat JDT musim ini ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA minggu lalu, hanya memerlukan seminit untuk mendahului menerusi sentuhan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Namun, penalti kesepuluh dari 12 perlawanan terakhir musim ini memastikan juara bertahan Liga Super itu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan liga dan kekal di tangga kedua menerusi beza jaringan, dengan pendahulu Felda United hanya akan turun beraksi pada Ahad.

Kelantan pula meraih kemenangan moral  setelah membelasah pasukan jiran, Terengganu 3-0 di Kota Bharu.

Tatkala kemenangan meredakan sedikit ketegangan di kem The Red Warriors yang dihimpit pelbagai masalah, kekalahan pula menyaksikan Terengganu bimbingan Mike Mulvey tewas buat kali keempat berturut-turut.  

Tuan rumah yang membariskan hanya seorang pemain import dalam kesebelasan utama, beroleh jaringan menerusi Wan Zack Haikal pada minit ke-16, Wan Zaharulnizam Zakaria minit ke-63 dan Fakhrul Zaman Zawawi seminit sebelum tamat permainan.

Dengan 12 mata, Kelantan melonjak ke tangga kelima mengatasi PDRM yang sekadar seri tanpa jaringan menentang Selangor di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dalam satu lagi perlawanan, Sarawak terus kempunan meraih tiga mata di gelanggang sendiri apabila diikat Pahang 1-1, menyaksikan mereka terus terperosok di kedudukan tercorot dengan enam mata.

Sarawak mendahului selepas setengah jam permainan menerusi Junior Aparecido namun Dalibor Volas memastikan Pahang meraih satu mata apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-55.

Dua lagi perlawanan iaitu Felda menentang Perak dan Pulau Pinang menentang T-Team akan berlangsung pada Ahad.  

KEDUDUKAN PASUKAN

MSL.24.4

- Advertisement -