Sanjef_DRB
Sanjef Dinesh

Oleh Ku Mohd Lufti

Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Frank Bernhardt mengekalkan 22 daripada 29 pemain yang dipanggil ketika aksi persahabatan dengan pasukan B-22 Filipina dan pasukan kebangsaan Nepal pada Mac lepas, dan hanya memanggil dua pemain baharu untuk mengikuti latihan pusat .

Dua pemain baharu untuk persiapan menghadapi kejohanan empat negara iaitu skuad bawah 22 tahun Singapura, Vietnam, Thailand dan Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka itu adalah penyerang Selangor, Adam Nor Azlin (gambar utama) dan pertahanan DRB Hicom FC, Sanjef Dinesh.

Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), antara pemain yang dikekalkan Bernhardt ialah trio Kedah, Syafiq Ahmad, Farhan Roslan dan Arif Farhan Md Isa; ketua pasukan, Faris Shah Rosli, Shahrul Hakim Rahim (Kelantan); dan Safawi Rasid, Arif Fadzilah Abu Bakar, Zuasyraf Zulkiefle (T-Team).

Kesemua pemain akan melapor diri untuk latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Isnin ini.

Pasukan kendalian jurulatih dari Jerman itu yang dipersiapkan untuk Sukan SEA 2017, kemudiannya akan bertolak ke Melaka pada 29 Mei bagi menghadapi Piala Negara-Negara 2016.

Selepas kejohanan itu, skuad tersebut akan bertolak ke kem latihan luar negara dan dijadual menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan di Chiba, Jepun pada 9 hingga 28 Jun ini sebagai persiapan awal menghadapi temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang berlangsung pada Ogos 2017.

- Advertisement -