rachel arnold

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan skuasy wanita negara mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia yang sedang berlangsung di Taiwan setelah muncul juara Kumpulan B dengan menewaskan Singapura 3-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan, sebentar tadi.

Ianya kemenangan ketiga buat pasukan wanita negara yang sebelum ini menewaskan Sri Lanka dan India dalam dua perlawanan terdahulu, sekaligus membayangkan hasrat mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu walaupun kali ini turun tanpa Dato’ Nicol David dan Low Wee Wern.

Menentang Singapura, Malaysia tidak berdepan masalah besar apabila Teh Min Jie menghadiahkan mata pertama buat skuad negara menerusi kemenangan 12-10, 12-10, 11-5 ke atas Nur Adawiyah sebelum Rachel Arnold menjadikan kedudukan 2-0 dengan menewaskan Sherilyn Yang 11-1, 11-5, 11-4.

S.Sivasangari melengkapkan kemenangan 3-0 setelah mengetepikan Auyeung Wai 11-4, 11-7, 11-6 sekaligus membawa Malaysia menempah pertemuan menentang naib juara Kumpulan A, Jepun pada aksi suku akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu.   

Sementara itu, pasukan lelaki negara pula gagal mengulangi pencapaian muncul naib juara pada 2014 apabila kecundang kepada naib juara dua kali, India di suku akhir.

Ketua pasukan, Ivan Yueh tunduk 9-11, 6-11, 11-13 kepada Harinder Pal Singh, diikuti kekalahan Mohd Syafiq Mohd Kamal  kepada Kush Kumar yang menutup peluang buat skuad bimbingan Ong Beng Hee untuk meneruskan kemaraan.

Malaysia seterusnya akan berdepan Iraq pada perlawanan penentuan tempat kelima – kelapan.

- Advertisement -