Rekod tanpa kalah Melaka lebur dalam dua minit

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2016/05/rekod-tanpa-kalah-melaka-lebur-dalam-dua-minit">
Twitter
Pinterest

100PLUS.latest

Oleh Muhammad Aiman

Perlis memilih waktu tepat untuk menoktahkan kemarau kemenangan dalam enam perlawanan apabila dua jaringan dalam tempoh dua minit terakhir membantu meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu 100PLUS Liga Premier, Melaka United 2-1 di Kangar.

Skuad Singa Utara mengharungi musim yang hambar apabila hanya mencatat dua kemenangan selepas sembilan perlawanan dan dilihat menghampiri satu lagi kekalahan, setelah ketinggalan 0-1 menerusi jaringan minit kedua R.Surendran.

Anak buah Dollah Salleh bagaimanapun mengubah nasib mereka bermula dengan sepakan penalti yang disempurnakan Kayne Vincent pada minit ke-88 sebelum bekas penyerang Felda United, Edward Wilson menjaringkan gol kemenangan 2-1 selang 90 saat kemudian.

Dengan kemenangan ini, Perlis melonjak ke tangga kelapan dengan 12 mata manakala kekalahan menyaksikan Melaka tergelincir ke tangga kedua, dipintas semula oleh Kuala Lumpur yang garang membelasah Angkatan Tentera Malaysia 5-1 di Stadium Selayang.

Gol buat skuad helang kota dijaringkan pemain pertahanan Helmi Remeli, Hafiz Johar, Leo Carioca dan dua jaringan Casagrande manakala gol saguhati buat ATM dijaringkan Venice Elphi Dennis Kaya.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan pula terlepas peluang untuk melonjak ke tangga teratas sebaliknya kekal di tangga ketiga liga setelah sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Sabah di Paroi.

Sabah terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Maxius Musa pada minit kelima, namun jaringan dari dua tonggak import Andrew Nabbout dan Joel Chianese masing-masing pada minit ke-41 dan 69 membolehkan Negeri Sembilan mendahului 2-1.

Ummareng Bacok bagaimanapun menyelamatkan satu mata buat Sabah menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-80.

Sementara itu, jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Paolo Rangel pada minit ke-53 membolehkan Johor Darul Takzim II merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Uitm FC sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan.

Di Stadium Hang Jebat pula lapan gol terhasil tatkala finalis Piala FA PKNS Selangor diikat 4-4 oleh Kuantan FA, sekaligus menjadikan persaingan untuk menamatkan aksi pusingan pertama liga di kelompok lima teratas lebih hangat.

Kuantan FA mendahului 2-0 selepas hanya 15 minit permainan berlangsung menerusi jaringan Dao Bakary dan Srdjan Vidakovic, namun skuad E.Elavarasan yang menyingkirkan Perak di separuh akhir Piala FA Sabtu lalu, mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan Matias Jadue dan Gabriel Guerra.

Hazwan Fakhrullah menjadikan kedudukan 3-2 buat Kuantan FA tetapi kedudukan kembali terikat 3-3 dan kemudiannya 4-3 berpihak kepada PKNS setelah Jadue meledak dua gol pantas untuk melengkapkan hatriknya.

Kuantan FA bagaimanapun pulang dengan satu mata menerusi jaringan Shafiq Razali.

Please follow and like us:
0