Mohd Haiqal Hanafi
Haiqal Hanafi (kanan)

Oleh Muhammad Aiman

Setelah menonjol dengan mencatat deretan pencapaian mengagumkan di peringkat remaja, pelari pecut remaja kebangsaan, Muhd Haiqal Hanafi tampak sudah bersedia terus mengilap prestasinya itu untuk menempa nama di pentas senior.

Atlet berusia 17 tahun itu sebelum ini mencuri tumpuan ramai apabila meraih emas berganda acara pecut di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara (SEA) Bangkok pada April dan kemudiannya mengulangi pencapaian sama bersama Negeri Sembilan di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Kuala Terengganu, bulan lalu.

Dan pada Sabtu, Haiqal akan beraksi dalam kejohanan senior pertamanya apabila mengambil bahagian dalam acara riben biru di Kejohanan Memorial Kosanov XXVI di Almaty, Kazakhstan dan dia memasang impian untuk melakar sejarah pada penampilan sulungnya.

“Ramai yang terkejut melihat saya memenangi dua emas di Remaja SEA, dan saya berharap dapat melakukan satu lagi kejutan di Kazakhstan. Saya cukup teruja menanti peluang bersaing dengan atlet senior lain, ia akan mengerah saya untuk bekerja keras mencatat masa yang lebih baik.

“Kejohanan ini juga penting buat saya sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Kuching dari 22-31 Julai nanti,” ujar Haiqal yang mempunyai catatan masa peribadi terbaik 10.66s dalam acara 100m.

Untuk rekod, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu turut meraih pingat perak dalam acara 4x100m bersama Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan dan Asnawi Hashim di Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Ho Chi Minh, Vietnam awal bulan tempoh hari.

Di Almaty nanti, selain Haiqal, turut beraksi dalam acara 100m lelaki adalah Asnawi dan Jonathan Nyepa.

Sementara itu, tumpuan juga akan terarah kepada kuartet 4x100m wanita iaitu Siti Fatimah Mohd, Zaidatul Husniah Zulkifli, S.Komalam Shally dan Nurul Faizah Asma Mazlan yang semakin menyerlah dan mencari lebih kejayaan di pentas antarabangsa. 

Kuartet tersebut memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 45.32s dalam laluan meraih emas di Terbuka Singapura pada April manakala pada bulan lalu mencatat 45.53s untuk memenangi emas di Terbuka Taiwan.

- Advertisement -