mas.timor

Oleh Muhammad Aiman

Versatiliti serta permainan meyakinkan ditunjukkan pemain pertahanan, Khair Jefry Jones ketika menentang Timor Leste pada Isnin lalu, membuktikan bahawa dia adalah jenis pemain yang Dato’ Ong Kim Swee perlukan dalam skuad Harimau Malaysia. 

Pemain Melaka United itu yang meraih kap antarabangsa kedua setelah membuat penampilan sulung ketika menentang Myanmar 28 Mei lalu, membalas kepercayaan Kim Swee dengan aksi impresif bertenaga dan menjadi antara watak penting membantu kemaraan skuad kebangsaan ke peringkat kumpulan pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2019.

Walaupun hanya mendapat tempat di dalam kesebelasan utama di saat akhir ekoran keracunan makanan dialami Christie Jeyaseelan, Khair jelas berjaya memikat Kim Swee yang sekian lama mencari pemain serba boleh yang boleh bermain mengikut kehendak perlawanan.

“Khair adalah seorang pemain pertahanan, tetapi saya meletakkannya di posisi sayap kiri dan dia bermain cukup baik, bukan sahaja ketika bertahan tetapi juga ketika menyerang. Dia banyak mencipta peluang, melakukan hantaran berbahaya malah menjaringkan gol. Sudah tentunya saya gembira mempunyai seorang pemain sepertinya dalam pasukan.

“Saya perlukan pemain versatile (serba boleh) dalam pasukan, yang mana boleh bermain dengan cukup baik walaupun di luar posisi selesa mereka. Ini memberikan saya lebih pilihan terutamanya apabila ianya membabitkan permainan taktikal ketika menentang pasukan lebih kuat seperti Thailand,” kata Kim Swee.

Isnin lalu, pemain berusia 27 tahun kelahiran New Zealand itu menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-16 dalam kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste dalam aksi kedua play-off kelayakan Piala Asia di Larkin.

Dua lagi gol masing-masing sumbangan Hazwan Bakri dan S.Chanturu pada separuh masa kedua perlawanan membolehkan Malaysia mencatat kemenangan 3-0 dan menyertai 23 lagi pasukan di saingan peringkat kumpulan yang akan berlangsung Mac tahun depan dengan agregat 6-0.

Di sebalik kemenangan melegakan ini, Kim Swee berpendapat masih banyak ruang boleh diperbaiki tatkala fokus seterusnya bagi pengendali kelahiran Melaka itu adalah memperbaiki ranking dan mempersiapkan skuad mantap bagi merampas semula kejuaraan Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung Disember depan.

“Timor Leste telah memberi satu pengalaman bagus buat skuad kita, banyak yang boleh kita belajar dan perbaiki dari dua perlawanan di Larkin ini sebagai persiapan untuk kejohanan Piala Suzuki dan saingan peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia yang pastinya akan menjadi cabaran yang lebih besar buat kita,” katanya.

Malaysia selepas ini akan mengharungi Siri Jelajah Oceania untuk aksi persahabatan menentang Papua New Guinea (17 Jun), New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun) dalam usaha memperbaiki ranking dunia.

- Advertisement -