Fakri Saarani
Fakri Saarani

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia akan memulakan misi memperbaiki ranking dunia dengan menentang Papua New Guinea (PNG) di Port Moresby pada Jumaat, dan pengendali pasukan Dato’ Ong Kim Swee sudah memberi bayangan akan melakukan beberapa rombakan bagi memberi ruang kepada pemain yang tidak beraksi sebelum ini membuktikan kemampuan.

Ini sudah tentunya peluang terbaik buat pemain seperti Farhan Abu Bakar (penjaga gol), Amirul Hisyam Awang Kechik, Fakri Saarani, Abdul Latiff Suhaimi (tengah) serta Zaquan Adha dan S.Kumaahran (penyerang) untuk membuktikan bahawa Kim Swee tidak silap dalam memilih untuk menyenaraikan mereka dalam senarai 24 pemain skuad kebangsaan.

“Saya mahu beri peluang kepada pemain yang tidak beraksi sebelum ini dan mereka harus tahu apa yang perlu dilakukan. Tujuannya adalah kerana saya inginkan keseimbangan dalam pasukan, kerana apabila berlaku kecederaan atau penggantungan terhadap pemain utama saya tidak mempunyai masalah untuk dapatkan pengganti,” kata Kim Swee.

Harimau Malaysia ketika ini berpangkalan di Brisbane, Australia sejak Ahad lalu sebelum dijadual mengharungi tiga perlawanan persahabatan berstatus A dengan Kim Swee lebih banyak menumpukan kepada aspek kecergasan dan taktikal permainan.

Untuk rekod, skuad negara bertandang ke Jelajah Oceania dengan motivasi tinggi selepas dua kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste dalam aksi play-off Piala Asia 2019 serta tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir, justeru Kim Swee berharap rentak kemenangan dapat diteruskan walaupun dengan membariskan skuad berbeza.

Selepas aksi menentang PNG, pasukan di ranking ke-193 dunia pada Jumaat (17 Jun), Malaysia akan berdepan New Caledonia (183) di Noumea pada 22 Jun dan menutup tirai Jelajah Oceania dengan menentang Fiji (186) di Nadi pada 26 Jun.

Skuad negara kemudiannya akan mengharungi beberapa lagi perlawanan persahabatan antarabangsa antaranya menentang Singapura, Thailand, Indonesia dan Afghanistan pada September dan Oktober sebagai persiapan untuk membentuk skuad menghadapi Piala AFF Suzuki 2016.

- Advertisement -