sea_games_2017Oleh Ku Mohd Lufti

Bekas pengendali skuad hoki remaja kebangsaan, K Rajan, dilantik sebagai ketua jurulatih skuad senior Singapura dalam usaha mereka menyiapkan pasukan untuk menghadapi Sukan SEA 2017.

Beliau akan memulakan tugas pada 1 Ogos depan, mengisi kekosongan yang ditinggalkan Solomon Casoojee dari Afrika Selatan, yang melepaskan jawatannya awal tahun ini.

Rajan mengikat kontrak selama dua tahun dengan Persekutuan Hoki Singapura (SHF).

Untuk permulaan, misi utamanya adalah untuk membantu Singapura menyambar pingat perak di Sukan SEA.

“Memang anda tidak boleh menjadi bertaraf dunia dalam sekelip mata, tetapi anda boleh mencapai tahap tertentu. Sasaran saya untuk melihat Singapura menewaskan pasukan yang berada di luar kelompok enam terbaik Asia. Saya mahu Singapura muncul sebagai pasukan terbaik untuk negara kelas kedua Asia,” katanya.

India, Korea Selatan, Malaysia, Jepun, Pakistan dan China, antara calon pasukan terbaik di rantau Asia, sekaligus menceritakan misi lainnya untuk melihat Singapura mengatasi Oman, Bahrain dan Sri Lanka.

Difahamkan, SHF menetapkan sasaran buat Rajan untuk mempertahankan pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur dan seterusnya lapan terbaik di Sukan Asia 2018 di Indonesia sebelum kontraknya berakhir.

“Ia adalah sasaran yang realistik buat masa ini. Jika saya boleh mencapai sasaran ini, bermakna ia boleh dikira sebagai satu kejayaan,” kata Rajan yang pernah membimbing skuad negara ke Piala Remaja Dunia 2009.

Pada saingan di Johor Bahru itu, Rajan sekadar mengemudi Malaysia meraih tempat ke-12 daripada 20 pasukan yang bertanding.

Beliau juga pernah membimbing Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama 12 musim.

Sejak mengundur diri daripada barisan kejurulatihan negara, Rajan lebih banyak memainkan peranan dalam membangunkan sukan hoki di peringkat akar umbi bersama TNB.

- Advertisement -