2016_Sukma_Games_LogoOleh Muhammad Aiman

Atlet lontar tukul besi remaja kebangsaan, Grace Wong Xiu Mei optimis mampu memahat namanya sekali lagi dalam catatan sejarah Sukan Malaysia (SUKMA), apabila sukan olahraga membuka tirainya pada Selasa depan di Stadium Petra Jaya, Kuching.

Atlet muda berusia 14 tahun itu melakar rekod baru SUKMA dengan melakukan lontaran sejauh 55.82m di SUKMA Perlis dua tahun lalu dan keyakinannya cukup tinggi dapat memperbaharui catatan itu kali, dibantu kem latihan selama sebulan di Mokpo, Korea Selatan pada bulan lalu.  

“Ia adalah kem latihan pertama saya di luar negara dan saya berjaya untuk memperbaiki teknik balingan saya. Latihan di Korea Selatan memang sukar, saya perlu berlatih untuk waktu yang lebih panjang, kadang-kadang sehingga lapan jam sehari dan ianya menjadikan saya lebih kuat dari aspek fizikal dan mental.”

Ketika di Mokpo, Grace yang merupakan pemenang pingat gangsa di Sukan SEA Singapura 2015 melakukan catatan terbaik peribadinya iaitu 57.23m.

Manakala pada April lalu, dia cemerlang memecahkan rekod Kejohanan Remaja Asean di Chantaburi, Thailand dengan melakukan 60.47m

Selain tukul besi, pelajar tingkatan tiga Sekolah Sukan Bukit Jalil itu akan turut membawa cabaran kontinjen tuan rumah, Sarawak, dalam dua lagi acara iaitu lontar peluru dan lempar cakera, “Sokongan peminat tempatan adalah getir buat saya dan ia pastinya mendorong saya untuk lakukan yang jauh lebih baik untuk menang lebih dari sebutir emas di SUKMA.”

Grace yang berlatih di bawah bimbingan bekas pemenang pingat emas Sukan Asia dari China, Gu Yuan mempunyai catatan terbaik 41.47 bagi acara lempar cakera manakala 11.78m bagi lontar peluru.

Dia yang dinobatkan selaku atlet wanita terbaik di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Kuala Terengganu pada Mei lalu, menjangkakan saingan sengit dari rakan sepasukan Queenie Ting bagi acara lempar cakera.

- Advertisement -