Khairul_Hafiz_Jantan

Oleh Muhammad Aiman

Raja pecut baru tanah air, Khairul Hafiz Jantan terus mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kejohanan buat kali kedua dalam tempoh kurang 20 jam bagi acara 200m, dalam laluan memenangi pingat emas ketiganya di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, pagi tadi.

Namun catatan masa 21.03s yang dilakukannya belum memadai untuk ‘menyentuh’ rekod kebangsaan paling lama bertahan, 20.92s milik lagenda olahraga negara Tan Sri Dr. M.Jegathesan.

Jegathesan atau dikenali dengan jolokan ‘The Flying Doctor’ merekodkan masa tersebut ketika beraksi di separuh akhir temasya Sukan Olimpik Mexico 1968 – 48 tahun lalu.

Begitupun tiada apa untuk dikesali atlet Melaka berusia 18 tahun itu, yang mengharungi kejohanan cukup membanggakan di Sarawak di sebalik baru sahaja pulang dari menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Poland.

Dia mencetus sensasi dalam acara riben biru 100m pada Selasa apabila meraih pingat emas dengan catatan 10.18s, meleburkan rekod kebangsaan 10.30s milik Watson Nyambek yang dilakar ketika pra Sukan Komanwel 1998.

Kemudiannya dia meleburkan rekod acara 200m SUKMA berusia 14 tahun milik bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohamad di peringkat separuh akhir pada Khamis, dengan melakukan 21.14s, sebelum memperbaharuinya sekali lagi pagi tadi. 

Pelari terpantas remaja Asia itu turut mengetuai kuartet 4x100m dan 4x400m Melaka meraih emas, kedua-duanya dengan memecahkan rekod SUKMA, seterusnya hampir pasti dinobatkan selaku Olahragawan SUKMA 2016.  

- Advertisement -