SSN KL SMK Seri Titiwangsa(kuning)-001

Saingan di puncak Liga Super Piala Menteri Pendidikan Malaysia (B-14) semakin sengit dengan empat pasukan terus mengukuhkan cengkaman bagi memburu slot beraksi di suku akhir. 

Kemenangan selesa 3-0 ke atas wakil Negeri Sembilan SMK Za’ba membantu SMK Seberang Temerloh dari Pahang muncul pendahulu baru, mengambil alih kedudukan SSM Bukit Jalil yang mendominasi carta liga selama enam minggu sebelum ini.

SMK Seberang Temerloh yang melakar kemenangan ketujuh bagaimanapun terikat 22 mata dengan SSM Bukit Jalil, hanya memiliki kelebihan di tangga teratas menerusi beza satu jaringan. dan satu mata mengatasi pasukan tangga ketiga SMK Bukit Nenas.

Sementara itu, wakil Terengganu, SMK Bukit Nenas terus menghimpit kedudukan dua pasukan teratas setelah menewaskan SMK Putera 2-0 di Kota Bharu.

Kekalahan menyaksikan pasukan dari Kelantan itu kekal sebagai satu-satunya pasukan tanpa kemenangan dan terperosok di tangga tercorot dengan hanya lima mata. 

SMK Tunku Mahkota Ismail pula terlepas peluang untuk berkongsi kedudukan pendahulu apabila pasukan dari Johor itu sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang wakil Perlis SMK Syed Hassan.

Dengan 20 mata, SMK Tunku Mahkota Ismail berada di tangga keempat, lima mata meninggalkan SMK Za’ba sekaligus masih berada di landasan tepat untuk memburu tempat di suku akhir.

Saingan di Liga Perdana Piala Menteri Pelajaran pula menyaksikan SMK Gunung Rapat melonjak ke tangga teratas setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas MSS Putrajaya.

Wakil Perak itu mengutip 24 mata, dua mata mengatasi pasukan tangga kedua SSM Pahang yang tidak beraksi minggu ini.

SMK Seri Kota dari Melaka pula sekadar mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang SMK Tunku Anum dari Kedah, dan kekal di tangga ketiga dengan 19 mata.

Dalam perlawanan lain, pasukan dari Kuala Lumpur, SMK Seri Titiwangsa terus menghidupkan peluang untuk merebut tempat di suku akhir apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas wakil Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian di Cheras.

SMK Seri Titiwangsa mengumpul 13 mata untuk berada di tangga kelima, empat mata ketinggalan di belakang pasukan tangga keempat SMK Tun Hussein Onn. 

Untuk rekod, hanya empat pasukan teratas Liga Super dan Liga Perdana akan mara untuk berentap di peringkat suku akhir.

 

KEPUTUSAN

LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Za’ba (N. Sembilan)               0      

SMK Seberang Temerloh (Pahang) 3

 

SMK Putera (Kelantan)                  0

SMK Bukit Nenas (Terengganu)      2

 

SMK Syed Hassan (Perlis)               0

SMK Tunku Mahkota Ismail (Johor) 0

 

LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Seri Titiwangsa (K.Lumpur)    1

SMK Mutiara Impian (P.Pinang)      0

 

SMK Tunku Anum (Kedah)             0

SMK Seri Kota (Melaka)                          0

 

MSS Putrajaya                             0

SMK Gunung Rapat (Perak)           1

- Advertisement -