Wan Zaharulnizam Zakaria

Oleh Muhammad Aiman

Sudah jatuh, ditimpa tangga. Mungkin itu perumpamaan sesuai untuk menggambarkan nasib malang yang menimpa pemain sayap lincah Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Bukan sahaja rayuan untuk mengurangkan jumlah penggantungan lima perlawanan Liga Super yang sedang dijalaninya ditolak Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tetapi Wan Zaharulnizam atau lebih popular dengan panggilan Kecik, dikenakan pula tambahan penggantungan satu lagi perlawanan.

Bekas pemain Harimau Muda itu sebelum ini didapati bersalah atas kesalahan berkelakuan ganas oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM ketika kekalahan 2-5 Kelantan kepada Selangor di Kota Bharu pada Mei lalu, yang mana dia dilayangkan kad merah kerana mengasari Nazmi Faiz Mansor.

Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang pada 11 Jun lalu mengenakan penggantungan lima perlawanan dan denda RM2,000 kepada pemain itu, menyaksikan dia tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang Terengganu (15 Julai), Pahang (23 Julai), Johor Darul Takzim (26 Julai), Felda United (3 Ogos) dan T-Team pada 5 Ogos.

Keputusan terbaru oleh pada Khamis bermakna dia akan turut terlepas aksi menentang Pulau Pinang pada 16 Ogos depan dan perlu menanti lebih lama untuk memperkuatkan cabaran The Red Warriors dalam saingan liga, iaitu pada 24 Ogos depan menentang Kedah.

Sementara itu, Jawatankuasa Rayuan FAM turut menolak rayuan jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria yang digantung tujuh bulan di atas kesalahan berkelakuan ganas dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan ketika perlawanan antara pasukannya menentang Uitm FC (26 Feb) dan Perak pada Mac lalu.

- Advertisement -