Men's Doubles - Petaling BC-02

Oleh Muhammad Aiman

Ianya mungkin masih terlalu awal namun Kelab Badminton Petaling sudahpun memberi bayangan betapa mereka berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan Junior Purple League setelah memenangi kesemua tiga perlawanan di minggu pembukaan.

Selepas menewaskan Muar BC 13-6 dalam aksi pembukaan pada Sabtu disusuli kemenangan 12-8 ke atas Bandar Utama Dragons, pasukan bimbingan Yap Kim Hock itu meraih kemenangan ketiga dengan menewaskan Serdang BC 15-4 di Kompleks Sukan Azman Hashim, Pulau Pinang pada Ahad.

Chia Wei Jie memberikan Petaling pendahuluan 3-2 setelah menewaskan Wu Song Jian dalam aksi perseorangan lelaki sebelum perseorangan wanita Chasinee Karepap menjadikan kedudukan 6-2 hasil kemenangan 3-0 ke atas Chan Qi Yong.

Beregu lelaki, Kwek Yee Jian-Man Wei Chong serta beregu wanita Tew Jia Jia-Yap Yee masing-masing turut mencatat kemenangan selesa 3-0 untuk membolehkan Petaling mendahului 12-2 sebelum beregu campuran Chen Tang Jie-Wanida Buapa menundukkan Lim Ru Guat-Soh Wooi Yik 3-2 untuk melengkapkan kemenangan 15-4.

Ia adalah kekalahan pertama Serdang bimbingan seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Ong Ewe Hock setelah terdahulu menang dua aksi menentang Bangsar Hawks dan Puchong United.

Selain Petaling, pasukan lain yang turut memenangi kesemua tiga perlawanan di minggu pembukaan adalah Kepong BC yang menewaskan Petaling Jaya (15-2), Bangsar Hawks (15-0) dan Puchong United (10-7).

Tiga lagi perlawanan yang seterusnya akan berlangsung pada 1 dan 2 Oktober depan di Ampang Jaya diikuti tiga perlawanan terakhir di Cyberjaya 15 dan 16 Oktober. 

Ia kemudiannya akan disusuli dengan Junior Champions Challenge di Sports Arena Bukit Serdang dari 20-23 Oktober.

- Advertisement -