KPM.100+Oleh Muhammad Aiman

Selepas menjuarai saingan Liga Super Piala Menteri Pendidikan (B-14), SSM Bukit Jalil kini mengintai peluang untuk menjulang Piala KPM seterusnya menamatkan musim selaku juara berganda.  

Skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail itu membuktikan berada dalam kelas tersendiri apabila melakar lima kemenangan berturut-turut dalam laluan menjuarai saingan liga dan mereka tidak mahu mengendurkan momentum apabila berdepan SSM Pahang di gelanggang lawan pada aksi suku akhir Piala KPM, 1 Oktober depan.

“Pasukan saya telah menyertai Team A ke Korea dan ketika ini sesi latihan berjalan seperti biasa. Beberapa kelemahan yang dikenalpasti akan kita perbaiki dan saya berharap pemain akan dapat menunjukkan permainan yang lebih baik berbanding saingan liga sebelum ini. Kita juga mengharapkan kualiti padang dan pengadilan yang lebih baik di Gambang nanti,” kata Wan Rohaimi.

Tambah bekas pemain kebangsaan itu, “Seperti saya pernah katakan, kita bertanding bukan kerana mahu menang kejuaraan sebaliknya adalah penting membentuk sebuah pasukan yang bagus, berdaya saing. Saya mahu pemain-pemain ini belajar, bekerjasama dalam satu pasukan, menggerakkan bola, saling membantu. Ini akan menjadikan mereka satu pasukan yang kuat.”

Perlawanan suku akhir lain akan menyaksikan naib juara Liga Super, SMK Seberang Temerloh (SMKST)  berdepan SMK Seksyen 11 yang menamatkan Liga Super di kedudukan keempat.

SMKST pada satu ketika memberi tentangan sengit kepada SSM Bukit Jalil dalam pemburuan gelaran liga, namun harapan mereka lebur setelah terikat 3-3 menentang SMK Syed Hassan pada perlawanan ketiga terakhir liga dan kini mereka mempunyai satu peluang terakhir untuk menamatkan musim dengan trofi.

“Saya yakin barisan pemain saya telah belajar dari kesilapan dan mendapat pengajaran berguna dari saingan liga tempoh hari. Ini peluang terakhir dan kita perlu memanfaatkannya. Kita akan bermain di gelanggang sendiri dan ini memberi kita sedikit kelebihan,” kata jurulatih SMKST, Faizal Talib.

Sementara itu, dua lagi aksi suku akhir akan menemukan juara Liga Perdana SMK Gunung Rapat (SMKGR) dari Perak dan SSM Tunku Mahkota Ismail dari Johor.manakala SMK Seri Kota dari Melaka akan melayani kunjungan wakil Terengganu, SMK Bukit Nenas.  

Dengan SSMTMI mengharungi enam perlawanan terakhir tanpa kemenangan, kelebihan dilihat sedikit memihak SMKGR yang muncul juara liga penuh dramatik setelah mencatat seri 3-3 menentang SMK Datuk Peter Monjuntin pada perlawanan terakhir apatah lagi mereka akan bermain di gelanggang sendiri.

- Advertisement -