dtk abu samah

Oleh Ku Mohd Lufti

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengesahkan pihaknya masih belum menerima surat bertulis atau permohonan rasmi daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan menyatakan hasrat mereka untuk menganjurkan acara trek, Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018.

Bukan untuk menyusahkan mana mana pihak, khususnya PKBM, Khairy menjelaskan, ia adalah satu tuntutan dari segi undang-undang yang termaktub dalam Akta Pembangunan Sukan selain memastikan kejohanan berjalan dengan baik.

“ACC satu kejohanan bertaraf antarabangsa, dan untuk itu mereka perlu menyertakan hujah-hujah tertentu bagi mendapatkan kebenaran daripada saya sebelum boleh menganjurkannya.

“Saya tidak menyatakan perkara ini untuk menyusahkan tetapi sebagai menteri sukan saya ada tanggungjawab untuk memastikan sebarang penganjuran sukan peringkat antarabangsa berjalan lancar demi menjaga nama baik negara,” kata Khairy Jamaluddin.

Semalam, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab menyatakan pihaknya mungkin menarik diri daripada menganjurkan acara itu jika tidak mendapat kebenaran daripada menteri.

PKBM telah dipilih untuk menjadi tuan rumah ACC 2018 bagi acara trek selepas dua negara yang membida,  Thailand dan Korea Selatan, menarik diri.

Sementara itu, Khairy enggan campur tangan melibatkan keputusan PKBM menggantung pelumba Terengganu Cycling (TSG) Zamri Salleh selama tiga bulan ekoran kenyataan dibuatnya berhubung pembayaran hadiah kemenangan Jelajah Malaysia 2013.

 Namun, Khairy berpandangan, keputusan yang dibuat oleh PKBM dilihat sebagai keterlaluan.

“Walaupun menghormati kedudukan PKBM sebagai persatuan kebangsaan dalam mengendalikan kes-kes disiplin, kami di kementerian berpendapat tindakan itu sesuatu yang keterlaluan,” katanya lagi.

 Zamri digantung berkuat kuasa 24 Oktober sehingga awal Januari tahun depan, sekaligus tidak dibenarkan mendaftar dengan mana mana pasukan termasuk TSG.

- Advertisement -