SEA Games Kuala Lumpur 2017 - Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM)

Oleh Ku Mohd Lufti

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan untuk mengunakan laluan yang sama ketika sukan SEA pada 2001 bagi disiplin lebuh raya di Sukan SEA 2017.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab menjelaskan, laluan tersebut diharapkan menjadi pemangkin semangat untuk mengulangi kejayaan 15 tahun dahulu.

Pemilihan laluan tersebut dibentang dan diluluskan ketika Mesyuarat Exco badan induk berkenaan 19 November lalu di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

“Pada Sukan Sea 2001, perlumbaan 180 KM diadakan dengan 15 pusingan, bagaimanapun kali ini cuma 150km. Sekiranya negara lain cadangkan jarak perlumbaan dinaikkan sehingga 180km kami perlu kaji saranan tersebut.

“Kita bersedia terima kritikan daripada mana-mana pihak khususnya dari Indonesia atau Filipina. Buat masa ini, jarak rasmi perlumbaan acara lepas beramai-ramai elit lelaki adalah 150km,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sukan SEA edisi ke 21, Malaysia meraih emas dalam acara lepas beramai ramai menerusi Mohd Azlan Jamaluddin diikuti pingat perak milik Wong Ah Thiam.

Tambah Datuk Abu Samah, laluan landai sepanjang perlumbaan, diharapkan memberi kelebihan buat pelumba negara seperti Harrif Saleh.

“Jadi, saya harap kali ini dengan penampilan barisan terbaik rata-rata daripada pasukan benua TSG (Terengganu Cycling ), kita boleh sapu bersih semua pingat seperti apa yang berlaku pada 2001,” katanya.

- Advertisement -