Delia Arnold
Delia Arnold


Oleh Muhammad Aiman

Pemain remaja terbaik negara ketika ini, S.Sivasangari seperti dijangka menyambar slot terakhir untuk beraksi di Kejohanan Skuash Berpasukan Dunia edisi ke-20 yang akan berlangsung di Paris, Perancis dari 27 November – 3 Disember depan.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuash Malaysia (SRAM), Major (B) S.Maniam berkata pemain berusia 17 tahun itu menjadi pilihan melengkapkan skuad empat pemain yang turut dibarisi pemain nombor lima dunia, Dato’ Nicol David, Delia Arnold dan Low Wee Wern berdasarkan pencapaian cemerlangnya di Sirkit Skuash Jelajah Malaysia (SSJM) sepanjang tahun ini.

Pada bulan lalu dia melakar sejarah muncul pemain Malaysia pertama menyapu bersih kesemua enam pusingan SSJM dengan bergelar juara di Kuantan manakala pada September lalu dia muncul juara Kejohanan Remaja Asia B-19 di Bukit Jalil, selain menduduki tempat ketiga Kejohanan Remaja Dunia di Poland pada Ogos.

“Kita membuat keputusan memilih Sivasangari kerana pada dua pusingan SSJM (keempat di Pulau Pinang dan kelima di Perlis) dia lebih menyerlah dari pemain nombor empat, Rachel Arnold, yang mana merupakan kriteria utama pemilihan,” kata Maniam.

Sementara itu, Sivasangari yang akan membuat penampilan pertamanya di kejohanan itu jelas cukup teruja dengan peluang yang diberi dan motivasinya cukup tinggi mahu membuktikan SRAM tidak tersilap dalam membuat pilihan.

“Ini kali pertama saya akan bermain dalam satu pasukan yang sama dengan Nicol, Delia dan Wee Wern, ia satu pengiktirafan besar buat saya dan saya akan buat yang terbaik untuk tidak mengecewakan mereka,” kata pemain berasal dari Kedah itu yang berlatih di bawah bimbingan Ong Beng Hee sejak awal tahun ini.

Untuk rekod, dua tahun lalu di Kanada, pasukan negara yang dibarisi Nicol, Delia, Wee Wern dan Vannesa Raj mengejutkan pasukan pilihan Mesir di separuh akhir tetapi terpaksa berpuas hati selaku naib juara setelah tewas 1-2 kepada England di final – bagaimanapun ianya adalah pencapaian terbaik Malaysia sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1979.

Kali ini, Maniam yakin layak ke separuh akhir adalah sasaran yang realistik mengambil kira kekuatan pasukan yang bertanding, “Kita tidak boleh mengambil mudah cabaran dari pasukan besar seperti Mesir dan England. Kita juga mengharapkan Wee Wern boleh kerah aksi terbaiknya setelah pulih dari kecederaan lutut.”

Sebanyak 32 pasukan akan menyertai pertandingan ini dan Maniam yang akan bertindak selaku pengurus pasukan di Perancis nanti berpendapat pasukan seperti Hong Kong, India, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat berpotensi menjadi ‘pengacau’ dan melakar kejutan.

- Advertisement -