Oleh Muhammad Aiman

Arena bolasepak tempatan mungkin tidak pernah menyaksikan drama yang lebih hebat daripada apa yang sedang dipertontonkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ketika ini.

Tatkala ramai yang menantikan episod akhir pada 15 Disember lalu, mereka mengheret drama mahu menarik diri ini berlanjutan lagi selama 14 hari – sehingga 29 Disember, sebelum keputusan muktamad mengenai penyertaan di Liga Malaysia 2017 dibuat.

Ia sebenarnya dilihat ramai sekadar satu umpan dan dalam tempoh dua minggu menuju ke episod akhir, umpan yang diletak kena pada sasarannya – berjaya menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan negeri yang sentiasa dipersalahkan turut memberi respon dan kemudiannya beberapa syarikat menunjukkan minat mahu tampil sebagai penaja pasukan.

Tetapi KAFA perlu diakui sebuah persatuan yang cukup keras hati, di kala keadaan tenat dan memaksa, di kala kantung hanya ada RM800,000 (sepertimana dimaklumkan) mereka bukan mahu berterima kasih dan ambil tindakan susulan, sebaliknya lantang mempersoal keikhlasan bakal penaja malah menuduh syarikat-syarikat itu mahu meraih publisiti murahan. 

Percaturan KAFA adalah mudah. Mereka tahu ada hero sudah sedia menunggu untuk menyelamatkan mereka, tetapi tidak mahu memperlihatkan kepada orang ramai khususnya kerajaan negeri betapa dalam situasi ini, sebenarnya masih banyak pihak yang mahu membantu mereka keluar dari kemelut kewangan yang melanda.

Mereka perlu terus mencanang bahawa tiada pihak yang menghulur simpati, tiada yang menghulur bantuan jika tidak mahu drama dicipta ini tamat lebih awal, apatah lagi kerajaan negeri hanya mahu mengadakan pertemuan pada 1 Januari 2017.

Bukankah sesuatu yang pelik KAFA tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan bakal penaja sebelum tarikh berlangsungnya Kongres Luar Biasa (EGM) pada 29 Disember pada ketika pihak penaja sudah terang-terangan menyatakan minat mahu bekerjasama?

Apa sebenarnya yang dibentangkan selepas tempoh dua minggu? Kedudukan kewangan yang sama dibentangkan tempoh hari bahawa cuma ada RM800,000 dan jumlah itu tidak berganjak?

Ini jelas menunjukkan bahawa KAFA mahu, ketika di EGM pada 29 Disember (tiga hari sebelum pertemuan dengan kerajaan negeri), meyakinkan semua mengenai keadaan mereka yang cukup kritikal, justeru tiada pilihan selain menarik diri dan itulah kenyataan yang mereka keluarkan.

Kini, 6 Januari pula dikatakan akan menjadi penentu nasib. Meskipun bayangan awal pengakhiran cerita sudah diberi, iaitu tetap dengan keputusan menarik diri, namun tempoh lapan hari seterusnya inilah yang akan mengubah kesudahan cerita, hero yang sekian lama bersembunyi akan menonjolkan diri.

Bagi yang mengikuti secara rapat perjalanan bolasepak Kelantan, mereka tahu siapa yang akan muncul sebagai penyelamat di saat yang begitu cemas ini, mereka tahu perjalanan drama ini masih lancar mengikut skrip meskipun plotnya terpaksa diubah beberapa kali, dan mereka tahu kesudahannya pasukan takkan menarik diri.     

Mana tidaknya. Mencanang tiada duit, mahu menarik diri, tetapi ketua jurulatih baru sahaja dilantik, penolong jurulatih sudah dibawa datang dari Thailand, pencarian pemain import sudah dilakukan, latihan berjalan seperti biasa seolah tiada masalah dan perlawanan persahabatan juga sudah diadakan.

Malah, tidak seperti di Selangor, apabila pasukan berada dalam ketidaktentuan masa depan, pemain-pemain bintang seperti Ahmad Hazwan Bakri, Hafiz Kamal, Shahrom Kalam, R.Gopinathan dan Azmi Muslim semuanya awal-awal lagi ‘angkat kaki’.

Berbeza di Kelantan, pemain-pemain tonggak seperti Khairul Fahmi, Badhri Radzi, Norhafiz Zamani, Norfarhan Mohd, atau Indra Putra, masih bernada optimis dan tiada pula menunjukkan rasa bimbang mengenai masa depan mereka seolah-olah tahu kemelut ini akan berakhir dengan baik. Atau mereka sudah diberitahu ini hanya sandiwara?

Lebih menjadi pertikaian adalah sikap lembut hati Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), badan yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan Liga Malaysia membenarkan sebuah pasukan untuk berteka-teki, bermain-main mengenai status penyertaan sehingga ke 6 Januari, iaitu hanya kira-kira dua minggu sebelum sepak mula musim baru.

Apa peraturan atau garis panduan ditetapkan FMLLP? Sepatutnya selepas 30 November, tarikh akhir pengesahan penyertaan bagi musim baru, tiada pasukan dibenarkan menarik diri kerana sudah tentunya setiap pasukan sedia maklum akan kemampuan sendiri sebelum mengesahkan penyertaan dengan bon jaminan RM3 juta.   

Tindakan menarik diri pada saat akhir hanya akan menjejaskan kelancaran Liga Malaysia tetapi apa yang dapat kita lihat adalah Kelantan menggunakan sebaiknya ketidaktegasan FMLLP untuk meletakkan satu tarikh sesuka hati mereka.

Cukup memalukan masih ada ketidakpastian mengenai pasukan yang bertanding tatkala jadual Liga-M sudah dikeluarkan dan undian Piala FA sudah dibuat.  

Walaupun diyakini ancaman tarik diri ini sekadar satu gimik, bagaimana pula dengan nasib pemain dan jurulatih sekiranya terjadi benar-benar Kelantan menarik diri.

Bolehkah pemain-pemain ini, pegawai-pegawai pasukan mencari pasukan baru, tatkala persiapan kesemua pasukan lain sudahpun memasuki fasa akhir dan adakah FMLLP akan terus berdiam tanpa sebarang tindakan?

Perkara remeh seperti ini masih gagal ditangani, dan ini mereka gelar satu proses ke arah penswastaan? Apabila badan pengelola atau badan pentadbir sendiri tidak serius menguatkuasakan peraturan dan banyak memberi kelonggaran, sejujurnya, penswastaan Liga-M hanya akan kekal sebagai omong kosong.

Apa sekalipun kesudahan kisah ini nanti, menarik diri atau tidak, barisan exco KAFA perlu berasa malu dan mengakui betapa mereka telah gagal, tidak layak untuk berada di dalam saf pimpinan persatuan itu. Hanya seorang atau dua individu dilihat serius mahu membantu melonjakkan pembangunan bolasepak negeri itu, selebihnya tiada fungsi.   

Malahan, bukan sahaja barisan exco, tetapi bekas Presiden, Tan Sri Annuar Musa dan penaja yang ‘lari’ sekerat jalan, Vida Beauty Sdn Bhd juga perlu berasa malu kerana menjadikan bola sepak sebagai alat permainan mereka.

Annuar diakui pemimpin KAFA paling berjaya. Apa sahaja tafsiran ramai, sama ada dia membantu kerana tanggungjawab sebagai anak Kelantan, mencari ‘mileage’ politik ataupun mahu mencari nama, tidak boleh dinafikan jasanya terlalu besar.

Dia telah merubah landskap bolasepak Kelantan secara keseluruhan, dari sebuah pasukan yang beraksi di Liga FAM sehinggalah muncul juara treble pada 2012 malah dapat merasai pengalaman beraksi di Piala AFC.

Berkali-kali juga dia menyelamatkan KAFA dari krisis kewangan tenat sama ada dengan mengeluarkan duit poket ‘sendiri’ ataupun menggunakan pengaruhnya sebagai tokoh politik untuk membawa masuk dana.

Namun untuk Annuar meninggalkan sebuah persatuan tanpa menyelesaikan 1001 masalah  berbangkit, terutamanya isu tunggakan gaji kerana alasan tidak lagi mampu dan kemudiannya acah-acah menjadi penyelamat dari luar atas alasan sayangkan bolasepak Kelantan dan tidak mahu bolasepak negeri itu berkubur dilihat sebagai permainan politik murahan.   

Ketika persatuan ditinggalkan tanpa nakhoda, exco KAFA pula terkial-kial tanpa arah malah tanpa segan mengulangi hanya Annuar sahajalah jalan penyelesaian yang mereka ada, sedangkan jika melihat kepada respon di luar sana, siapa cakap tiada jalan penyelesaian lain? Atau ini membuktikan mereka ini sebenarnya tidak memikirkan sebarang inisiatif?

Apa yang mereka lakukan adalah berterusan mendesak Annuar yang sudah meninggalkan kapal yang sedang karam, untuk kembali. Mungkin itu juga yang Annuar mahukan, kerana ia secara tidak langsung membuktikan betapa pengaruh dan ketokohannya masih lagi diperlukan dalam masa sama dapat memulihkan semula reputasi yang tercalar sejak beberapa musim kebelakangan.  

Selama hampir sedekad Annuar memegang tampuk pimpinan, barisan exco sudah dibiasakan berada di zon selesa, goyang kaki menumpang populariti tanpa berbuat apa-apa. Apabila persatuan bermasalah, mereka sudah diajar, “tidak mengapa, Annuar ada” dan saban tahun begitulah kitarannya maka tidak hairanlah apabila presiden berundur, tiada yang dapat mencari solusi dan semuanya tertiarap.

Malah, beberapa minggu lalu Bendahari KAFA, Nik Aminaldin Nik Jaffar, memberitahu Sports247, “Tulis dalam laporan berita kamu, kalau sesiapa mahu jadi presiden, berminat dengan kerusi presiden KAFA, pastikan dia berduit kalau tidak baik lupakan sahaja.”

Kenyataan itu membayangkan mentaliti orang-orang dalam KAFA, atau mungkin juga sebahagian besar persatuan bolasepak tempatan bahawa tanggungjawab membawa masuk dana atau sumber kewangan adalah tugas presiden sepenuhnya.

Ia adalah mentaliti yang salah. Jika dulu Kelantan mempunyai TRW Sdn Bhd yang bertanggungjawab menguruskan aspek penajaan, pemasaran, penjenamaan sebelum akhirnya berkubur, ketika inilah barisan exco yang duduk bermesyuarat 10 kali semusim mendukung peranan dan mengambil langkah pro-aktif untuk membantu presiden ataupun persatuan, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan meraih simpati.

Barisan exco dilantik untuk bekerja, bukan untuk menagih simpati. Sama ada mereka berada di dalam kepimpinan secara sukarela ataupun bergaji, mereka bertanggungjawab ke atas jawatan yang dipegang justeru sekiranya mereka gagal mencari walau satu sen pun dana meskipun sudah berusaha, itu menunjukkan bahawa mereka telah gagal.

Perlu juga diingat, pengurusan sesebuah persatuan bolasepak bukan semata-mata mengenai kewangan dan penajaan.

Selain presiden yang berkarisma, ia memerlukan barisan exco yang turut sama mempunyai ciri kepimpinan, pengetahuan, komitmen, sedia bekerja keras, sentiasa bersedia turun padang, mempunyai visi dan misi yang jelas, serta prihatin akan kebajikan pasukan.

Sekiranya barisan exco sedia ada berpendapat mereka tidak mempunyai sebarang ciri yang disebut, mereka perlu, tanpa disuruh melepaskan jawatan dan memberi ruang kepada yang benar-benar mempunyai idea dan kemahuan untuk menyumbang kepada pembangunan bolasepak.    

Isu ini seharusnya menjadi pengajaran, iktibar bukan sahaja kepada KAFA tetapi juga persatuan bolasepak lain, dalam masa sama membuka mata pegawai-pegawai kanan persatuan mengenai tanggungjawab dan peranan mereka setelah sekian lama diajar ‘makan suap’.

Kerana tidak belajar dari pengalaman dan kesilapan lalulah, bolasepak Malaysia, masih tidak lagi maju dan kekal di takuk lama. Tiga dekad beralih ke era professional dan kita masih bergelut untuk mentadbir urus sebuah persatuan secara professional, professional kah kita? Tepuk dada, tanya selera!

- Advertisement -