Oleh Muhammad Aiman

Sarawak terpaksa melupakan hasrat menggunakan khidmat pemain import, Teah Dennis setelah pemain itu gagal ujian kesihatan dan didapati dijangkiti Hepatitis B, sekaligus terpaksa pulang ke negaranya Liberia bagi menjalani rawatan.

Perkara itu disahkan pengurus pasukan Ngap Sayop, Datuk Posa Majais yang mengakui ia satu kehilangan besar buat pasukan apatah lagi Dennis yang dibawa masuk ketika perpindahan kedua menggantikan Davide Grassi, telah menunjukkan prestasi cemerlang di pertahanan Sarawak.

“Dennis tidak lagi berlatih bersama pasukan, dia akan pulang ke Liberia dalam masa beberapa hari lagi. Dia seorang yang cukup professional, ketika perbincangan diadakan baru-baru ini, dia faham dan akur dengan keputusan pasukan.

“Kami berharap Dennis akan menemui penawar penyakitnya di sana dan dapat kembali meneruskan kariernya sebagai pemain bolasepak professional. Dia masih muda (24 tahun), dan seorang pemain yang berkaliber, berdisiplin, jadi kami harap semuanya lancar dan dipermudahkan buatnya,” ujar Posa.

Dengan ketiadaan Dennis, Sarawak kini sedang memburu dua lagi pemain import untuk memperkuatkan pasukan setelah terdahulu mengikat Lee Jong Ho dari Korea Selatan dan Mark Andrew Hartmann dari Filipina.

Setakat ini mereka sedang menguji dua pemain iaitu Andy Lorei dari Amerika Syarikat dan Kim Seong Hyeon dari Korea Selatan namun pengendali, David Usop tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan dan dijangka menguji lebih kurang enam atau tujuh lagi pemain import pada 2 dan 3 Januari.

Senarai muktamad pemain dan pegawai pasukan, akan diperkenalkan kepada umum dalam satu majlis pada 8 Januari depan.    

- Advertisement -