delia-arnold

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia gagal melepasi halangan suku akhir buat kali pertama selepas 12 tahun di Kejohanan Skuash Berpasukan Wanita Dunia setelah mengalami kekalahan mengejut 1-2 kepada Hong Kong, di Paris.

Pemain nombor lima dunia, Dato’ Nicol David menyumbangkan mata tunggal buat Malaysia yang merupakan finalis edisi lalu, tatkala kekalahan dialami Delia Arnold dan S.Sivasangari memastikan cabaran pasukan negara berakhir awal.

Turun dengan rekod cemerlang menang tiga perlawanan kesemuanya dengan keputusan 3-0 di peringkat kumpulan, Malaysia pilihan ketiga kejohanan pada awalnya dijangka tidak bermasalah untuk menyingkirkan Hong Kong.

Begitupun, kekalahan dialami Delia, pemain di ranking 17 dunia yang turun pada perlawanan pertama mengubah skrip perjalanan skuad negara di kejohanan edisi ke-20 itu. .

Dalam pertarungan berlangsung sengit, Delia tewas 2-3 (11-8, 5-11, 11-9, 3-11, 6-11) kepada pemain nombor 18 dunia, Joey Chan sebelum Nicol kemudiannya menjadikan kedudukan 1-1 hasil kemenangan mudah 3-0 (11-7, 11-2, 11-4) ke atas Annie Au – ia juga merupakan kemenangan ke-37 berturut-turut Nicol di kejohanan ini sejak 2004.

Pemain remaja, S.Sivasangari menggalas tekanan berat untuk mencari mata kemenangan dan jelas faktor pengalaman menjadi pemisah tatkala pemain nombor 29 dunia, Liu Tsz Ling memanfaatkan pengalamannya untuk melakar kemenangan 2-1 (9-11, 17-15, 11-13, 6-11) dan mengesahkan kemaraan Hong Kong.

Hong Kong akan berdepan juara bertahan England di separuh akhir, manakala Malaysia berdepan New Zealand dalam penentuan tempat kelima – ini juga adalah kali pertama selepas enam edisi Malaysia gagal berada di kedudukan podium sejak menduduki tempat kelima pada 2004.   

- Advertisement -