samsonfamily

Oleh Muhammad Aiman

Di zaman kegemilangan mereka sebagai atlet, pasangan suami isteri Samson Vallabouy dan Josephine Mary Singarayar pernah meraih pelbagai kejayaan baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Samson, jaguh lari jarak sederhana mewakili negara selama satu dekad dari 1981 – 1991, dan dalam tempoh itu meraih tiga pingat emas di Sukan Sea, manakala Josephine lebih gah dengan lima pingat emas di temasya dwitahunan itu serta dua pingat gangsa di Sukan Asia.

Maka tidak hairanlah apabila melihat darah olahraga turut mengalir dalam diri dua anak mereka, Jocelyn dan Shereen yang banyak mencapai kejayaan di peringkat remaja beberapa tahun lepas.  

Menurut Samson, Jocelyn melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan lebih banyak terlibat di dalam pertandingan peringkat varsiti dan turut mewakili pasukan SUKMA negeri Perak.

Manakala pembabitan Shereen lebih serius, dia merupakan atlet kebangsaan, sedang digilap untuk mengikut jejak ibu bapanya itu di pentas antarabangsa dan telahpun menampakkan masa depan cerah menerusi kejayaan meraih pingat gangsa acara 400m di Sukan Sea Singapura 2015.

Yang menariknya, Shereen ketika ini berlatih di bawah bimbingan Josephine sendiri yang merupakan jurulatih atlet elit olahraga kebangsaan di Majlis Sukan Negara sejak bulan Februari lalu.

“Saya mahu anak saya capai kejayaan lebih besar berbanding apa yang saya dan isteri saya lakukan di pentas antarabangsa. Saya cuma menang pingat emas di peringkat Sukan Sea dan mahu anak saya lakukan apa yang kami gagal lakukan di peringkat Sukan Asia.

“Kami memberikan dorongan dan motivasi kepada anak-anak dan saya percaya peranan ibu bapa adalah sangat penting di dalam menjadikan anak-anak berjaya baik di dalam bidang pembelajaran mahupun sukan,” ujar Samson yang meraih emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 1989 dengan catatan masa 1:48.29s sekaligus memperbaharui rekod kebangsaan (ketika itu).  

Dalam temasya sama, Samson turut meraih pingat emas acara 4x400m menerusi gandingannya dengan Azhar Hashim, Yazid Parlan dan Nordin Jadi, juga merupakan rekod baru kebangsaan yang masih belum dipecahkan.

Samson kemudiannya meneruskan prestasi cemerlang dengan menduduki tempat keempat di Sukan Asia Beijing 1990. Beliau bersara selepas memenangi pingat emas acara 800m di Sukan Sea Manila 1991.

Josephine turut senada dengan Samson, “Hajat saya adalah mahu melihat Shereen penuhi impian saya untuk rangkul emas di Sukan Asia 2022. Saya telah melatihnya sejak lebih lima tahun, sejak bersama Majlis Sukan Perak lagi dan semuanya kelihatan berada di landasan tepat. Saya mahu dia terus bekerja keras untuk menjadi yang terbaik di Asia.   

Josephine memenangi lima pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam penyertaan di enam edisi Sukan Sea dari tahun 1983 -1993 iaitu satu emas dan satu perak di Singapura 1983, tiga emas di Jakarta 1987 dan masing-masing satu emas di Manila 1991 dan Singapura 1993.

“Jumlah itu mungkin lebih banyak jika tidak kerana saya mengalami demam campak sehari sebelum temasya Sukan Sea 1989 bermula. Persiapan berjalan lancar dan saya mempunyai peluang besar untuk menang empat emas ketika itu di hadapan penyokong sendiri. Agak terkilan juga kerana ia tahun kemuncak saya,” jelasnya.   

Beliau turut memenangi dua pingat gangsa di Sukan Asia Seoul, Korea Selatan 1986 dan Beijing 1990 – catatan rekod kebangsaan 2:07.44s yang dilakukannya di Seoul masih bertahan sehingga ke hari ini.

Selain itu, Josephine turut memenangi gangsa acara 400m di Kejohanan Trek dan Padang Asia di India 1989, dan memperbaiki pencapaian itu dengan meraih perak di Kuala Lumpur 1991. Beliau juga pernah mengibar cabaran negara di Kejohanan Dunia Indianapolis 1987 dan Sukan Olimpik Seoul 1988.

- Advertisement -