Oleh Ku Mohd Lufti

Selepas melakar keputusan yang positif, khususnya merangkul jersi pelumba terbaik Asia di Le Tour De Langkawi 2016, pelumba Terengganu Cycling, Adiq Hussainie Othman semakin dahagakan kejayaan.

Sebulan setengah menjalani latihan pusat di Australia, Adiq mahu persiapan ini dimanfaatkan sepenuhnya sebelum turun untuk berkayuh di LTDL 2017.

“Tahun ini TSG melangkah setapak ke depan untuk berlatih di Australia dan saya pernah berlatih di sana ketika bersama Drapac Porsche pada 2010 hingga 2012.

“Harapnya persiapan di Melbourne untuk LTDL dan Sukan SEA berhasil dan semoga saya dan rakan rakan dapat hasilkan keputusan yang terbaik untuk LTDL nanti,” kata Adiq.

Tambah Adiq, beliau bukan sahaja mahu mengekalkan jersi putih (pelumba terbaik Asia) yang dimenanginya pada LDTL 2016, malah meletakkan sasaran untuk memenangi salah satu daripada lapan peringkat bagi LTDL 2017.

Kali terakhir Adiq menaiki podium dalam saingan LTDL adalah pada 2015 dimana pelumba kelahiran Terengganu ini meraih tempat ketiga di perlumbaan peringkat keempat.

Malah, laluan mendaki menjadi pilihan pakar pendaki ini untuk cuba menamatkan perlumbaan khususnya di pendakian Hors Class di Cameron Highlands.

“Untuk laluan LTDL kali ini saya lihat lebih banyak laluan mendaki, dan TSG dijangka menurunkan pelumba pelumba pakar mendaki untuk memastikan keputusan yang baik,” katanya lagi.

Tahun lalu, TSG menduduki tangga ke 9 keseluruhan manakala dalam kategori pasukan dari Asia, TSG menduduki tangga ke 2 di belakang pasukan Wisdom Hengxiang Cycling yang berpengkalan dari China.

- Advertisement -