Oleh Muhammad Aiman

Setelah sekian lama, skuad Liga Super Pulau Pinang akan kembali beraksi di Stadium Negeri Batu Kawan dan harapan cukup tinggi diletakkan agar gelanggang itu akan menjadi gelanggang bertuah buat sang Harimau Kumbang untuk menyerlahkan taringnya.

Mereka terpaksa menjadikan Batu Kawan sebagai gelanggang tuan rumah setelah Stadium Bandaraya berkapasiti 15,000 penyokong ditutup untuk pembaikpulihan sempena penganjuran Sukan Asia Pasific Masters 2018 yang mana Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah.

Meskipun berkapasiti 40,000, rekod lampau membuktikan betapa Batu Kawan pada hakikatnya gagal menarik lebih ramai penyokong untuk turun memberikan sokongan, dengan jaraknya yang jauh serta tiada alternatif laluan lain dilihat menjadi alasan mengapa situasi itu terjadi.

Malah ada juga pendapat mengatakan stadium itu membawa malang buat Pulau Pinang – mereka tewas perlawanan pertama di Stadium Batu Kawan dalam aksi final Piala FA 2000 kepada Terengganu menerusi penentuan penalti.

Selain itu, gelanggang yang dibina ketika Pulau Pinang menganjurkan SUKMA 2000 itu turut pernah menganjurkan perlawanan akhir Piala FA 2006 antara Kedah dan Perlis.

Final itu antara yang cukup ‘tidak popular’ di kalangan penyokong di mana kesesakan lalu lintas yang teruk menuju ke Batu Kawan sebelum sepak mula, menyebabkan ramai yang terkandas di tengah jalan termasuklah Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah memaksa baginda berjalan kaki lebih satu kilometer untuk menyaksikan perlawanan.   

Pulau Pinang tidak pernah beraksi sebarang perlawanan kompetitif di Batu Kawan sejak 2012 iaitu ketika mereka masih beraksi di Liga FAM sekaligus membayangkan betapa mereka bakal berdepan kesukaran menarik penyokong hadir ke stadium namun pengurus pasukan, Zairil Khir Johari tetap berpandangan positif.

“Saya setuju sebelum ini memang sukar buat penyokong-penyokong hadir, lebih-lebih lagi bagi mereka yang datang dari pulau, untuk hadir menyaksikan kita bermain di Batu Kawan. Tapi sejak jambatan baru (kedua) dibuka, sebenarnya ia sudah menjadi jauh lebih mudah. Dengan jambatan baru berdekatan, dan satu lagi laluan utama sebagai akses ke stadium akan dibuka, saya tidak rasa ada alasan untuk mereka menjauh,” ujar Zairil.

Pulau Pinang yang mengharungi musim 2016 yang suram di bawah bimbingan Nenad Bacina, akan dibimbing oleh Ashley Westwood bagi saingan kali ini dan mereka akan membuka tirai aksi 2017 dengan menentang Selangor pada 21 Januari depan.

- Advertisement -