Oleh Muhammad Aiman

Di sebalik memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak enam kali sepanjang tahun lalu, jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin jelas masih belum gembira dengan catatan 59.29m yang dipegangnya ketika ini.

Bagi Irfan, dia tidak akan berpuas hati selagi tidak mencapai sasaran lemparan sejauh 60m yang ditetapkannya tahun lalu justeru bertekad merealisasikannya dalam tempoh terdekat.

“Tumpuan utama saya pada tahun ini adalah pastikan apa yang saya sepatutnya lakukan pada tahun lepas tercapai. Saya akan buat apa sahaja yang terdaya untuk memastikan sasaran 60m tercapai kerana saya mahu bergelar salah seorang atlet lempar cakera terbaik negara,” kata Irfan.

Sebagai rekod, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu mula-mula memperbaharui rekod kebangsaan 58.04m miliknya sendiri yang dicatat pada 2015, ketika menjalani latihan di Eropah, menerusi lemparan sejauh 58.21m dan 58.33m di Kejohanan Olahraga Terbuka Weertage Hallesche, Jerman pada 22 Mei 2016.

Hanya seminggu selepas melakukan catatan itu, dia sekali lagi memperbaharui rekod tersebut sebanyak dua kali menerusi lemparan sejauh 58.47m dan 58.48m di Kejohanan Terbuka Memorial Liese Prokop di St Polten, Austria.

Irfan meneruskan kecemerlangannya dengan melakar pula 59.29m di Kejohanan Kelab Slovak di Samorin, Slovakia beberapa hari kemudian.

Bagi memastikan dia terus berada pada tahap terbaik, atlet berusia 21 tahun itu akan menjalani latihan di Eropah sekali lagi bermula April dan dia juga akan melalui jadual pertandingan yang padat apabila akan beraksi di Kejohanan Trek dan Asia di India (tarikh belum ditetapkan), Sukan Sea Kuala Lumpur (19-31 Ogos) dan Sukan Universiti Dunia di Taiwan (19-30 Ogos).

“Meskipun tarikh Sukan Sea dan Sukan Universiti Dunia bertembung, saya yakin boleh beraksi di kedua-duanya kerana acara lempar cakera akan dilangsungkan pada tarikh berbeza,” jelas pelajar Ijazah Sains Sukan di Universiti Malaya itu.

Untuk rekod, Irfan adalah pemenang pingat emas acara lempar cakera di Sukan Sea sejak dua edisi lalu iaitu Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

- Advertisement -