Oleh Muhammad Aiman

Selepas kehilangan khidmat penjaring terbanyak, Jorge Pereyra Diaz, skuad Johor Darul Takzim terpaksa melepaskan pula seorang lagi tonggak import, Juan Martin Lucero yang sah dibeli Club Tijuana dari Mexico.

Membawa misi mempertahankan Liga Super dan Piala FA, sudah tentunya ia tamparan hebat buat JDT untuk beraksi tanpa dua pemain sensasi itu yang menjadi antara tunjang utama kecemerlangan sepanjang musim 2016.

Begitupun, ia tidak sama sekali akan menjejaskan kekuatan Harimau Selatan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim baru, demikian reaksi pemain tengah Amirulhadi Zainal kerana menurutnya JDT bukan pasukan yang bergantung harap kepada pemain tertentu.

“Pada saya pemain datang dan pergi itu perkara biasa. Pemain yang kekal ini perlu terus beri komitmen terbaik, dan beri sokongan kepada pemain-pemain baru yang masuk. JDT adalah sebuah pasukan yang mana semua pemain menyumbang kepada kejayaan pasukan, jadi saya fikir ia bukan satu masalah besar.

“Walaupun melepaskan pemain tonggak mungkin dianggap sebagai kerugian, tapi saya yakin PBNJ (Persatuan Bolasepak Negeri Johor) tahu apa yang terbaik. Mereka sedang giat merekrut pemain-pemain muda, sudah tentunya ia satu usaha yang bagus.

“Dan ini akan mendorong pemain-pemain senior termasuk saya untuk bekerja lebih keras, buat lebih lagi ketika latihan bagi memastikan prestasi sentiasa di tahap terbaik,” kata Amirulhadi ketika ditemui Sports247.

Untuk rekod, Lucero adalah pemain ketujuh untuk meninggalkan JDT selepas Diaz, Safee Sali (PKNS), Amri Yahyah (Melaka), Nazrin Nawi, Jasazrin Jamaludin (Perak) dan Akram Mahinan (Kedah) manakala Hariss Harun diberitakan akan dipinjamkan ke kelab di Portugal/Jepun.

Nazrin dan Jasazrin sebelum ini dilaporkan menyertai Perak dengan bayaran pampasan RM1.5 juta manakala Lucero pula dilaporkan telah dibida dengan nilai RM11.5 juta (sekali ganda nilai asalnya ketika menyertai JDT).

Ini menjadikan JDT pasukan pertama berjaya membawa masuk pemain import yang ada nilai pasaran malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka satu-satunya pasukan yang benar-benar dilihat bersedia menjayakan idea penswastaan Liga-M dengan pengendalian pengurusan yang profesional.  

Sebagai kontra, Kelantan pernah membawa pemain berkualiti seperti Dickson Nwakaeme dan Mohamed Ghaddar, Pahang pernah mempunyai Matias Conti dan Damion Stewart dan banyak lagi contoh boleh diberikan tetapi malang sekali tiada di antara pasukan-pasukan ini berjaya ‘membuat duit’ dengan pemain-pemain itu.

Semuanya kerana tidak belajar dari mereka yang pakar, dan tidak mempunyai perancangan jangka panjang. Kebanyakannya bersifat mencari kejayaan segera.     

Dan bagi menjadikan JDT mampu kekal sebagai gergasi bolasepak tempatan dan berdaya saing bagi tempoh jangka panjang, mereka telah merekrut pemain muda seperti Nazmi Faiz (bakal dipinjamkan ke kelab di Jepun), Safawi Rasid, Syahrul Azwari, Ahmad Hazwan Bakri, Haziq Nadzli dan R.Gopinathan selain ‘menaikkan’ empat pemain dari skuad JDT II iaitu Hasbullah Abu Bakar, Afiq Fazail, Dominic Tan dan Darren Lok.

Pasukan-pasukan Liga M, kalaupun tidak boleh menjadi seperti JDT, setidak-tidaknya boleh mengambil inspirasi dan belajar bagaimana menguruskan sebuah persatuan bolasepak, bodoh sombong hanya akan menjadikan anda ketinggalan lebih jauh.

- Advertisement -