Oleh Muhammad Aiman

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen kecewa dengan sikap tidak jujur dan tidak matang pemain wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei yang memberi alasan kecederaan buku lali sebagai punca tewas di pusingan kedua Malaysia Masters.

Pemain berusia 17 tahun itu disahkan bebas kecederaan selepas menjalani imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) seminggu sebelum bermulanya kejohanan berstatus Grand Prix itu, namun sebaik tersingkir di pusingan kedua kepada pemain bukan pilihan dari Taiwan, Lee Chia Hsin, Jin Wei berkata dia masih belum pulih dari kecederaan buku lali yang dialaminya.

Ini menyebabkan Frost berpendapat pemain itu tidak jujur dengan apa yang diperkatakannya.

“Ini adalah isu yang perlu segera ditangani Jin Wei. Beberapa hari sebelum kejohanan bermula, dia tidak turun berlatih dan mengadu mengalami kecederaan buku lali serta sukar bergerak. Kami menghantarnya untuk membuat imbasan MRI namun laporan menunjukkan semuanya OK.

“Dua hari sebelum datang ke sini (Sibu), kami bertanya sekali lagi dia kata bersedia untuk bermain namun selepas tewas dia beritahu media dia mengalami kecederaan buku lali. Ini tidak betul dan ianya perlu diperbetulkan, mungkin ianya normal bagi seorang pemain yang dalam proses mahu menjadi matang tetapi perkara sebegini tidak boleh diambil mudah.

“Jin Wei seorang yang keras kepala, dan ianya bagus tetapi dia tidak boleh menjadi keras kepala yang kurang bijak. Ini bukan kali pertama dia buat begini, tahun lalu dia tidak berada dalam keadaan baik ketika beraksi di Terbuka Singapura namun bertegas tetap mahu bermain. Apa yang OK ketika bermain di peringkat remaja, tidak lagi sama di peringkat senior.

“Saya tidak marah, tetapi saya kini seperti ibu bapa kepada pemain. Saya perlu ajar pemain ini sikap dan atitud yang betul jika tidak ia hanya akan beri kesan negatif kepada  perkembangan karier mereka. Saya pasti kita semua boleh belajar sesuatu dari apa yang berlaku ini, dan mengambil apa yang positif untuk diamalkan,” ujar Frost.

Frost juga memaklumkan bahawa dia belum memutuskan sama ada Jin Wei akan kekal dalam senarai skuad negara yang akan beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Vietnam dari 13 – 19 Februari depan.

“Saya mempunyai masa sehingga Selasa untuk memuktamadkan senarai, saya bercadang untuk menggugurkannya tetapi saya akan bercakap dulu dengan Jin Wei dan jurulatih Rony (Augustinus). Dia seorang pemain yang bagus, memang tidak dinafikan dia ada potensi untuk terus melangkah dan berada dalam kelompok 25 terbaik dunia, tetapi dia perlu matang. Kami akan terus memberikannya sokongan.”

- Advertisement -