Oleh Muhammad Aiman

Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Dermawan berpendapat kegagalan pasukannya mengutip tiga mata pada aksi sulung Liga Super 2017 menentang Sarawak adalah kerana barisan pemainnya tidak dapat menterjemahkan corak permainan sebenar di atas permukaan padang becak.

Kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu dan meskipun akur betapa keputusan itu dilihat adil buat kedua-dua pasukan, Rahmad berkata pasukannya boleh memenangi perlawanan jika rentak permainan tidak terganggu. 

“Pemain tidak dapat bermain corak hantaran pendek yang diterap dalam latihan kerana keadaan padang tidak mengizinkan. Ini menyebabkan kami terpaksa lebih banyak bermain hantaran jauh dan pemain gagal menyesuaikan diri.

“Bagaimanapun saya tetap memuji kesungguhan mereka kerana tetap cuba mencari kemenangan dan cuba tampil positif sepanjang permainan, malangnya beberapa peluang terhidang gagal disudahkan apatah lagi Farhod (Tadjiev) juga keseorangan di atas kerana kami terpaksa menukar cara hantaran dilakukan.

“Kami juga gagal menangani serangan balas pantas pemain lawan dan sering kali terperangkap, dan situasi itu membawa kepada jaringan penyamaan mereka,” ujar Rahmad.

Pada perlawanan tersebut, T-Team yang tidak dapat menurunkan pemain import baru mereka Mamadou Samassa kerana masalah kecergasan membuka jaringan di awal separuh masa kedua menerusi Norhakim Hassan yang menyempurnakan hantaran Arif Fadzilah.

Kelebihan itu dipadam Mateo Roskam yang menyudahkan hantaran Mark Hartmann 10 minit sebelum tamat permainan sekaligus menceriakan kem Bujang Senang.

Pengendali Sarawak, David Usop berkata, “Ia satu permulaan yang baik dapat mengutip satu mata dari aksi sulung. Aksi sulung selalunya sukar, apatah lagi bermain di gelanggang lawan tetapi pemain-pemain menunjukkan disiplin dan kekal berjuang hingga tamat perlawanan.

“T-Team tidak bernasib baik kerana mereka boleh memenangi perlawanan ini jadi sudah tentunya saya gembira dengan keputusan ini. Semoga ini memberikan lebih keyakinan kepada pemain saya untuk hadapi perlawanan akan datang.”

Aksi Sarawak yang seterusnya adalah menentang Kedah juga di gelanggang lawan di Stadium Darul Aman pada Jumaat manakala T-Team akan bertandang ke Kuantan untuk menentang Pahang. 

- Advertisement -