Oleh Ku Mohd Lufti

Drama yang tiada kesudahan menjadi mainan pengurusan sukan di Malaysia sepanjang kalendar 2016.

Itu yang berlaku di kem Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), samada di pihak pengurusan, mahupun atlet, pelbagai kerenah dan rencah timbul memaksa pihak kementerian turun untuk campur tangan.

Banyak yang perlu dinilai semula oleh PKBM yang dilihat hilang arah tuju, tanpa haluan yang jelas.

Malah, tiada pengumuman tentang perancangan dan perjalanan bagi 2017 tatkala Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA ke 29 Ogos nanti.

Memang sudah ditetapkan pasukan berstatus benua, Terengganu Cycling (TSG) di beri peranan untuk mengendali latihan pusat buat atlet, namun apa pula peranan PKBM untuk membantu mereka?

Pandangan daripada pemerhati sukan tempatan, persatuan sepatutnya menjadi pemudah cara untuk atlet dan menyediakan persekitaran yang positif dan tidak membuat kekangan dan bertindak secara unilateral apabila timbul sesuatu isu.

Dengan senario semasa yang ditonjolkan oleh pengurusan PKBM, ia tampak memberi bayangan, persatuan memerlukan idea idea yang baru.

Cukuplah dengan drama sepanjang 2016, individu yang berada di dalam PKBM perlu bersikap lebih profesional, jika tidak mampu berbuat demikian, beri peluang kepada yang lebih layak.

Dengan pelbagai kerosakan yang sudah berlaku, sejak digantung susulan menyalahguna kewangan, tiada perubahan yang dilakukan sehingga kini, pengurusan seakan akan duduk diam tanpa mencari inisiatif untuk mencari dana mahupun penaja.

Tidak kurang juga kepada pelumba pelumba yang perlu mengawal perasaan dan menggunakan laman sosial sebagai medium.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pelumba Terengganu Cycling (TSG) Zamri Saleh sehingga digantung oleh PKBM dan luahan pemenang pingat gangsa sukan Olimpik Rio dalam acara trek, Azizul Hasni Awang sebagai contoh, sesuatu yang perlu dikawal oleh pelumba itu sendiri.

Dua kenyataan ini jelas perlu menjadi peringatan atlet perlu menjaga kenyataan yang mahu dikeluarkan samada menggunakan laman sosial atau ketika ditemu ramah media.

Ia jelas akan memberi kesan terhadap masa depan atlet terlibat dan keadaan tampak lebih buruk andai melibatkan campur tangan daripada PKBM yang dilabel sebagai ‘tidak ikhlas’.

Andai kemelut melibatkan persatuan yang menaungi kita tidak ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan semakin terlalu rumit, jangan gunakan media sosial untuk melampiaskan kemarahan, samada berjumpa terus dengan Majlis Sukan Negara atau Menteri Belia dan Sukan.

Misi getir menanti 2017 dimana Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi sukan SEA ke 29 dan Para ASEAN ke 9 pada Ogos dan September.

Sasaran juara keseluruhan di Sukan SEA telahpun ditetapkan, persatuan kebangsaan dan negeri perlu bekerja keras dan bergandingan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara untuk memastikan atlet bersedia sepenuhnya.

- Advertisement -