Oleh Ku Mohd Lufti

Desas desus tentang masa depan jaguh perseorangan negara, Datuk Wira Lee Chong Wei di All England yang akan bermula pada Mac tampak menghadirkan satu perkhabaran positif.

Enggan menyerah kalah, Chong Wei menjalani rawatan fisioterapi dan rehabilitasi dibawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) dan dijangka kembali ke gelanggang untuk menjalani latihan minggu depan.

“Selepas beberapa hari menjalani rehabilitasi, lutut saya semakin pulih, saya akan cuba untuk kembali berlatih pada Isnin minggu depan dan melakukan penilaian tentang situasi terkini ketika itu.” Kata Chong Wei dipetik dari lama blog Malaysian Sports hari ini.

Jelas sekali Chong Wei tidak mahu terlepas peluang untuk beraksi di All England, namun segalanya bergantung kepada proses pemulihan lututnya.

Chong Wei disahkan mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) di lutut kirinya selepas terjatuh ketika menjalani latihan sabtu lalu di Akademi Badminton Malaysia.

Kemuncak isu Chong Wei baru baru ini apabila meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap kenyataan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost yang mahu pemain nombor satu dunia itu bersara.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga menanti jawapan balas daripada Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin  Abd Majid selepas kedua duanya bertemu untuk membincangkan situasi yang sedang berlaku.

“Terpulang kepada mereka untuk mencari jalan penyelesaian kerana saya sudah menjelaskan tentang pendirian saya.

“Jika mereka (BAM) tidak dapat menjaga kebajikan pemain pemain, lepaskan mereka kerana kami bermain untuk negara, bukan untuk nama.”katanya lagi.

Dari isu yang timbul, khususnya peperangan dintara Chong Wei dan Morten Frost Hansen, kedua dua pihak perlu bertanggung jawab.

Dari satu sudut, mungkin dapat dilihat, seolah olah Frost tidak mahu lagi Chong Wei berada di BAM atau sudah sepatutnya bersara dari arena badminton.

Mungkin luahan Frost berdasarkan kenyataan terdahulu Chong Wei yang beberapa kali menyatakan hasratnya untuk mengundurkan diri dan kali terakhir adalah sebelum menyertai temasya sukan Olimpik Rio tahun lalu.

Tidak perlu memanjangkan isu, selesaikan dengan kadar segera…

Samada Frost, atau Chong Wei kedua duanya perlu lebih professional kerana ia pastinya memberi impak negatif khususnya nama baik BAM dan Malaysia amnya.

Isu melibatkan kedua dua pihak ini sudahpun diketahui diperingkat antarabangsa kerana Chong Wei sudah terkenal di mata dunia sebagai pemain nombor satu dunia manakala Morten Frost membawa nama BAM.

Selesaikan masalah secara baik kerana ruang untuk membetulkan keadaan sentiasa ada jika pijak yang terlibat bertenang dan duduk semeja.

Menggunakan media sebagai saluran meluahkan perasaan bukan cara yang baik kerana ia tidak mendatangkan sebarang keputusan yang positif.

Semoga isu ini menjadi pelajaran berguna kepada pemain pemain lain, juga daripada sukan sukan lain, tidak perlu untuk berselindung dan bersikap kunci mulut.

Tidak ada sesiapa pun yang ‘kebal’ dan tidak boleh disentuh andai mencetuskan masalah mahupun isu negatif.

Andai tidak mendapat kerjasama dengan baik daripada pengurusan tertinggi, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pasti akan cuba membantu memberi jalan.

- Advertisement -