Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan mempunyai dua sasaran utama yang mahu dicapai bersama skuad badminton ‘Projek Khas’ dan satu daripadanya adalah membawa Dato’ Lee Chong Wei memenangi Kejuaraan Dunia buat pertama kali di Scotland, Ogos depan.

‘Projek Khas’ diujudkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Selasa lalu selepas kemelut yang tercetus di antara Chong Wei dan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost dilihat sukar diselesaikan dan Hendrawan diberi mandat oleh Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (CNT) untuk membimbing projek tersebut.

Justeru, Hendrawan perlu melaporkan segala perkembangan hanya kepada Pengerusi CNT, Datuk Norza Zakaria yang juga Timbalan Presiden BAM.

Rakan senegaranya dari Indonesia, Indra Wijaya pula akan bertanggungjawab terhadap pemain-pemain perseorangan lain seperti Iskandar Zulkarnain, Chong Yee Han, Soong Joo Ven, Soo Teck Zhi serta Lim Chi Wing dan perlu melaporkan kepada Morten Frost.

“Saya akan terus menumpukan perhatian di dalam mempersiapkan Chong Wei untuk menghadapi kejohanan dunia sepertimana juga saya lakukan sebelum ini, saya tekad mahu pastikan Chong Wei tidak gagal kali ini.

“Tugas tambahan saya adalah untuk turut memantau pemain-pemain lain, apa yang saya minta adalah agar mereka ubah atitud sewaktu latihan. Saya tidak boleh menjaga mereka 24 jam, saya bukan pengawal keselamatan, mereka perlu membantu diri sendiri.

“Pemain-pemain pelapis kita tiada inisiatif mahu memajukan diri. Malaysia ketandusan pemain perseorangan kerana pemain tidak matang. Saya telah memberitahu kepada pemain sedia ada ini, bahawa jika mereka tidak berubah, mereka akan menjadi satu lagi generasi pemain yang ‘hilang dari radar’.

“Mereka perlu ubah karakter. Joo Ven, Teck Zhi dan Chi Wing kesemuanya masih muda, mereka perlu melipatgandakan usaha dan kerja keras, belajar daripada Chong Wei, dan menjadi lebih baik yang mana merupakan satu lagi sasaran saya,” ujar bekas juara dunia itu.

Meskipun kini perlu melapor terus kepada Norza, Hendrawan menegaskan dia akan terus bekerjasama dan menjaga hubungan baik dengan Morten Frost kerana kesemua mereka masih dalam satu pasukan. 

- Advertisement -