Oleh Muhammad Aiman

Kedah membuktikan mereka antara pasukan yang perlu diberi perhatian serius setelah menjinakkan Pahang 4-1 di Stadium Darul Aman sekaligus merampas teraju Liga Super buat kali pertama musim ini.

Beraksi di hadapan lebih 15,000 penyokong sendiri, Kedah tampil dengan aksi menghiburkan dan berada dalam kelas tersendiri, tampil dominan di sepanjang perlawanan untuk meleburkan rekod tanpa kalah skuad bimbingan Dollah Salleh. 

Ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar memulakan pesta gol buat tuan rumah hasil rembatan rendah ke penjuru kiri gawang kawalan Wan Mohd Azraei pada minit akhir separuh masa pertama.

Hasrat Pahang untuk bangkit di separuh masa kedua disentap dengan gol kedua jaringan Ken Ilso Larson pada minit ke-66 sebelum pemain paling kecil di atas padang, Farhan Roslan pula menjadikan kedudukan 3-0.

Matheus Alves mengurangkan defisit jaringan pada minit akhir permainan namun ianya jelas sudah terlewat buat Pahang menjelmakan kebangkitan tatkala Ilso Larson melengkapkan kemenangan besar Kedah pada masa kecederaan setelah melakukan penyudah bijak.  

Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, “Kita bermain dengan penuh yakin dan setelah menjaringkan gol kedua, kita lebih tenang menguasai perlawanan dan bermain tanpa tekanan.

“Pemain bermain mengikut arahan, menunjukkan penguasaan bola yang lebih baik dan tampil lebih tajam di depan gol. Ianya kemenangan yang cukup penting untuk melonjakkan motivasi pemain menjelang aksi Piala FA pertengahan minggu depan.”

Kekalahan menyaksikan Pahang tergelincir ke tangga kedua dan Dollah Salleh nyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan kekalahan besar ini.

“Saya tidak tahu apa terjadi kepada pemain, mereka seolah hilang fokus dan tidak bermain sepertimana saya harapkan. Kita gagal menguasai tengah dan melakukan lebih banyak hantaran kepada penyerang, itu adalah punca utama kekalahan ini. Kita membenarkan Kedah untuk bermain cara mereka, saya perlu meneliti di mana silapnya dan mungkin melakukan rombakan menjelang aksi seterusnya.”

Nasib sama turut menimpa Perak yang mengalami kekalahan pertama musim ini setelah kecundang kepada PKNS FC dan jatuh ke tangga ketiga. Gol buat PKNS dijaringkan oleh Lucas Espindola (dua gol) dan Safee Sali, membolehkan mereka melakar kemenangan kedua musim ini dan berada di tangga keenam.

T-Team menewaskan Melaka 2-1 di Stadium Hang Jebat untuk melonjak ke tangga keempat manakala Kelantan menewaskan Felda United 2-1 di gelanggang lawan untuk melonjak ke tangga kelima.

Sarawak mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Pulau Pinang 1-0, ianya kekalahan keempat berturut-turut buat sang harimau kumbang.

Satu lagi perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Selangor berkesudahan seri tanpa jaringan.

- Advertisement -