Oleh Muhammad Aiman

Penganjur perlumbaan berprestij Asia, Le Tour De Langkawi (LTDL) 2017 percaya saingan yang akan bermula 22 Februari depan akan tetap berlangsung sengit meskipun dengan ketiadaan ramai nama besar malah hanya satu pasukan pro-tour mengesahkan untuk mengambil bahagian setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LTDL, Emir Abdul Jalal berkata andai perkembangan ini dilihat dari sudut positif, ia sebenarnya akan membuka peluang kepada lebih ramai pelumba untuk cuba mengungguli perlumbaan berkenaan berbanding hanya didominasi pelumba-pelumba tertentu pada setiap peringkat.

“Tahun ni kita bertarung dapatkan pasukan pro-tour selepas bertembung tarikh dengan perlumbaan Abu Dhaby, pasukan-pasukan pro-tour ini tidak boleh hantar dua pasukan berbeza untuk perlumbaan di Asia.

“Jadi bila tengok senarai pelumba yang ada ketika ini, peluang jadi terbuka, semua pelumba mempunyai peluang untuk menang kalau strategi mereka betul,” kata Emir.

Sambil menjelaskan bahawa hampir semua pasukan yang mengambil bahagian belum memuktamadkan senarai pelumba mereka dengan masing-masing masih lagi membuat penggantian, Emir menjelaskan ada beberapa nama yang boleh dianggap sebagai pilihan.

“Setiap pasukan belum sahkan pelumba mereka, mungkin juga sehingga sehari sebelum pengenalan pemain mereka akan buat pertukaran, itu perkara biasa. Tapi berdasarkan kepada senarai pelumba yang saya ada, yang pasti Daniel Jaramillo dari United Healthcare (UHC) akan menjadi antara pencabar terkuat. Dulu pun dia kalah jersi kuning dengan beza beberapa saat sahaja.

“Selain itu, pasukan Manzana (Postobon) dari Colombia juga boleh dilabel pencabar kuat, mereka ibarat kilang kepada pelumba-pelumba Colombia yang popular antaranya adik-beradik Quintana. Mereka akan tampilkan pelumba yang kita belum cukup kenal dan kita tidak tahu apa mereka boleh buat, sejauh mana potensi mereka,” kata Emir.

Emir bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan daripada syarikat pengeluar makanan tambahan, Cellmax yang bakal tampil selaku penaja jersi raja bukit – jersi polka-dot, dengan jumlah tajaan berjumlah hampir RM1.5 juta.

Saingan LTDL 2017 membabitkan lapan peringkat akan berlangsung dari 22 Februari hingga 1 Mac depan, meliputi jarak keseluruhan 1,225km dengan laluan terpanjang adalah peringkat kedua dari Jerteh – Gerik. 

- Advertisement -