Kejohanan Kebangsaan MAM Kapcai Endurance diteruskan hujung minggu ini dengan Litar Go Kart Sepang menjadi gelanggang saingan Pusingan 2 dan tiket untuk pertarungan Pusingan Akhir untuk bergelar Raja Kapcai Endurance pada April depan.

Seperti Pusingan 1 yang diadakan di Litar Speedway PLUS, empat kategori akan dipertandingkan dengan para pelumba ‘established’ disyaratkan untuk bersaing dalam Kelas Terbuka dengan jentera ‘underbone’ berkuasa sehingga 150cc.

Tiga kategori lain adalah untuk para pelumba lain khususnya bakat-bakat baru yang ingin berjinak dengan sukan lumba motosikal, bermula dengan Kelas 1 untuk jentera di bawah 100cc. Kelas 2 adalah untuk jentera di bawah 120cc manakala Kelas 3 adalah untuk pasukan yang berhasrat menggunakan jentera ‘underbone’ sehingga 150cc.

Kejohanan yang memasuki edisi kelima musim ini diperkenalkan untuk memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk menceburi gelanggang perlumbaan secara kompetitif dan untuk mencungkil bakat-bakat baru.

“Ini sekali gus menjadikan saingan Kelas 1 dan 2 sebagai yang paling menarik kerana kita dapat melihat penyertaan golongan remaja belasan tahun untuk memperagakan skil masing-masing di pentas perlumbaan sebenar yang diadakan dengan selamat dan mengikut peraturan antarabangsa.  

“Pada kejohanan MAM Kapcai Endurance ini, kami mencuba untuk menyediakan peluang untuk berlumba dengan kos perbelanjaan yang serendah mungkin tanpa mengabaikan tahap keselamatan pelumba dan perlumbaan. Kerana itu, ia cukup popular di kalangan para peminat di peringkat akar umbi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Dato’ Razlan Razali dalam satu kenyataan.

Pihak Motorsports Association of Malaysia(MAM) sedaya upaya membantu pembangunan sukan permotoran ini terutama dari peringkat akar umbi. Pihak MAM melihat ramai bakat-bakat yang terpendam terutama pada usia yang muda. Selain itu juga pihak MAM berharap dapat  membendung kegiatan yang tidak sihat seperti berlumba di jalan raya.

Untuk saingan Pusingan 2 ini, pendaftaran dan sesi latihan bebas akan diadakan pada hari Sabtu (25 Februari) dengan acara perlumbaan diadakan pada hari Ahad, 26 Februari ini.

Pusingan 3 dan saingan kelayakan terakhir akan diadakan bulan depan di gelanggang yang akan diumumkan kemudian. 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi pegawai akbar Motorsports Association of Malaysia(MAM), Nor Lina Ayob di talian 03-8778 2280 atau email norlina@mam.org.my

- Advertisement -