Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Melaka United, Eric Williams menjadi individu pertama untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan susunan jadual padat Liga Super musim ini susulan kekalahan 1-3 pasukannya kepada Pahang di gelanggang sendiri pada Sabtu.

Sambil mengakui Melaka tewas kepada pasukan yang jauh lebih baik dan berkualiti, Williams berpendapat barisan pemainnya gagal berada di prestasi sebenar mereka akibat kepenatan beraksi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu ā€“ dua daripadanya di gelanggang lawan.

ā€œKita tidak mampu bermain seperti biasa, pemain-pemain berusaha keras untuk mengatasi kepenatan. Kita bermain di Kuching (Sarawak) pada Sabtu lepas dan tiga hari kemudian bermain di Kota Bharu. Perlawanan diadakan berselang tiga hari dan dicampur waktu perjalanan, tiada rehat buat pemain saya apabila turun menentang Pahang.

ā€œMereka tidak sempat cergas kerana jadual yang cukup padat. Memang saya kecewa dengan kekalahan ini yang mana keputusan perlawanan mungkin berbeza jika pemain cergas sepenuhnya. Ada pemain (Sergio Aguero) terpaksa diturunkan walaupun tidak cergas, ini meningkatkan risiko kecederaan pemain.

ā€œSelepas ini, kami akan bermain menentang Pulau Pinang (1 Mac) dan kemudian Kedah (4 Mac), kedua-duanya di gelanggang lawan. Kami habiskan masa untuk perjalanan dan bermain, tiada ruang untuk pemulihan,ā€ ujar Williams.

Kekalahan di Stadium Hang Jebat itu adalah yang ketiga buat Melaka musim ini serta yang kedua di gelanggang sendiri. Ia juga turut menoktahkan rentetan tiga kemenangan berturut-turut dilakar ke atas PKNS FC (Piala FA), Sarawak dan Kelantan sebelum ini.

Setelah berjaya mengimbangi permainan untuk tempoh 15 minit pertama, sang kancil akhirnya dilanyak tok gajah bermula dengan jaringan pembukaan Joseph Kalang Tie pada minit ke-21 diikuti jaringan Matheus Alves pada minit ke-42.

Mohamadou Sumareh melengkapkan kemenangan buat skuad bimbingan Dollah Salleh pada minit ke-58 tatkala jaringan Khuzaimi Piee di minit akhir sekadar saguhati buat tuan rumah.

- Advertisement -