Oleh Muhammad Aiman

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baru setelah pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa membuat keputusan menarik diri, 48 jam sebelum berlangsungnya Kongres Pemilihan FAM ke-53.

Annuar, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan mengumumkan keputusannya itu dalam satu sidang media di Parlimen pada Khamis, sekaligus membolehkan TMJ yang sememangnya calon pilihan hangat, menang tanpa bertanding.

“Komitmen dan kesungguhan ditunjukkan TMJ boleh menjadi aset yang penting kepada FAM, justeru, TMJ perlu diberi peluang untuk melakukan sesuatu bagi bolasepak Malaysia  dan mengotakan janjinya membawa perubahan. Saya berdoa agar perubahan yang sekian lama dinanti akhirnya menjadi realiti.

“Saya akan menumpukan perhatian saya dalam membantu pasukan Kelantan terutama meningkatkan lagi program bolasepak akar umbi untuk melahirkan lebih ramai bakat dari kalangan anak negeri yang menjadi teras pembinaan pasukan Kelantan,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa keputusan yang dibuat pada saat akhir ini tidak dipengaruhi oleh sesiapa sebaliknya dibuat setelah berfikir panjang dengan mempertimbangkan pelbagai perkara demi kebaikan dan masa depan FAM serta bolasepak tanah air.

“Ada sebabnya mengapa saya tidak melobi berlebihan setelah mengumumkan mahu bertanding. Ia tidak akan menguntungkan sesiapa, akan mewujudkan ketegangan antara penyokong Kelantan dan JDT. Ini bukan yang kita mahukan.

“Tiada gunanya kalau rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi. Mandat pihak yang menang dipertikai, manakala yang tewas diperlekeh. Jika itu berlaku keharmonian dalam warga besar bolasepak Malaysia tidak akan wujud. Ia akan menjadi lebih teruk dari keadaan sedia ada malah seolah kita berundur ke belakang.”

Mengenai cakap-cakap yang kedengaran bahawa beliau mungkin boleh memenangi kerusi panas Presiden FAM ini seandainya tidak menarik diri kerana Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah mengarahkan ahli perwakilan FAM untuk memberi sokongan kepadanya, Annuar berkata ia tuduhan tidak benar.

Menurutnya, FAM perlu dianggotai barisan exco yang berwibawa dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan dan semua pemegang taruh yang lain serta mendapat sokongan semua pihak.

Untuk rekod, Annuar adalah calon ketiga untuk menarik diri setelah Khairy dan Tan Sri Aseh Che Mat.

- Advertisement -