Oleh Ku Mohd Lufti

Keputusan sama ada akan berlaku pertandingan bagi jawatan presiden terletak di tangan Exco Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pengurus Besarnya Lawrence Chew menjelaskan, meskipun wujud apa yang dikatakan dengan  ‘gentlemen’s agreement’ melibatkan jawatan tertinggi badan induk sukan badminton negara itu, namun segalanya-galanya akan diputuskan oleh barisan Exco.

“Sebelum ini Tan Sri (Mohamed Al Amin Abdul Majid) memberitahu dia menyerahkan segala-galanya kepada Exco dan bagi saya perkara ini sangat terbuka.

“Bagaimanapun, saya sukar untuk membuat ulasan mengenai perkara ini kerana ia bukan di bawah bidang kuasa saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Difahamkan, Mesyuarat Exco terakhir akan berlangsung di Kuching pada 8 April ini bersempena penganjuran kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia bagi menetapkan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM yang dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada 29 April ini.

Semalam, Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor mengakui wujudnya ‘gentlemen’s agreement’ tetapi pada masa sama memberitahu beliau tidak memihak kepada mana-mana individu dan menyerahkan sepenuhnya isu pemilihan kepada ahli gabungan BAM.

Beliau bagaiamanpun menasihatkan mereka yang terlibat perlu meletakkan kepentingan pemain serta badminton mengatasi segala-galanya.

Sukan badminton tanah air sebelum ini dikejutkan dengan kewujudan surat ‘gentlemen’s agreement’ antara pemimpin kanan BAM mengenai siapa yang bakal menggantikan Tengku Mahaleel yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015.

Tempat Tengku Mahaleel ketika ini dipangku oleh Al Amin, yang merupakan Timbalan Presiden, jawatan sama yang diduduki Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Perjanjian tersebut dikatakan telah dipersetujui bersama oleh Tengku Mahaleel, Al Amin dan Mohamad Norza serta ‘orang atas’ di Kementerian Belia dan Sukan, yang mana perubahan pu­cuk pimpinan BAM akan di­buat selepas tamat Sukan ­Olimpik 2016 atau berakhirnya penggal jawatankuasa sedia ada tahun ini.

- Advertisement -