Oleh Ku Mohd Lufti

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dijangka melakukan perubahan terhadap struktur kejohanan badminton yang sedia ada bagi mewujudkan saingan yang lebih kompetitif.

Malaysia sebagai sebuah negara yang penting dalam pembangunan badminton bagaimanapun tidak terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan bertaraf Peringkat Kedua (Grand Slam) dengan hadiah keseluruhan sebanyak 1 Juta Dolar US (RM4.4 juta.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund menjelaskan, agak sukar untuk membuat keputusan dalam Mesyuarat Majlis BWF mengenai siapa yang akan menjadi tuan rumah, di mana mereka terpaksa memberi fokus dengan teliti.

“Bagaimanapun, Malaysia tetap mengekalkan taraf yang sama penganjuran seperti sebelum ini dan meningkat ke Peringkat Kedua selepas ini. Ini memang keputusan sukar, kita mempunyai lima calon (Peringkat Kedua) dan kelima-limanya menganjurkan kejohanan dengan luar biasa sebelum ini,” katanya selepas mesyuarat di ibu negara.

Proses untuk mencari tuan rumah memerlukan pertimbangan yang serius meskipun Malaysia tidak menjadi tuan rumah untuk Peringkat Kedua namun bilangan kejohanan serta peningkatan taraf Masters Malaysia harus diambil kira.

“Pelbagai perkara menarik tetap ada di Malaysia. Ini adalah negara utama dalam sukan badminton dan menjadi tuan rumah untuk Peringkat Ketiga juga membuktikan bahawa ada unsur-unsur pembangunan serta boleh dianggap Malaysia masih lagi memenangi hati kami.

“Malaysia tetap menjadi tuan rumah untuk kejohanan berpengaruh dan sentiasa menganjurkan dengan cara luar biasa. Bagi saya ini adalah satu pembangunan baru buat BWF dalam memperkukuhkan struktur penganjuran kejohanan. Kita akan ada pelbagai Peringkat dan struktur baru tahun depan,” katanya.

Tambahnya lagi, idea ini sesuatu yang menarik untuk diperkenalkan, namun BWF berdepan kesukaran dalam membuat keputusan mengenai pemilihan tuan rumah.

“Banyak perkara positif boleh dilihat dari perkara ini, kita mempunyai banyak negara yang mampu menjadi tuan rumah dan menganjurkan kejohanan dengan cemerlang. Bagitu juga dengan negara baru yang akan menjadi tuan rumah.

“Mengenai nama kejohanan pula, ia adalah berita yang menarik untuk anda siarkan tetapi kami tidak boleh lagi membuat pengumuman sekarang kerana masih dalam proses perbincangan. Mungkin kejohanan bertaraf Siri Super sebelum ini dikekalkan ataupun menggunakan nama lain,” katanya.

BWF dijangka memperkenalkan enam peringkat kejohanan bermula tahun depan sehingga 2021 dengan Peringkat Pertama ialah Super Siri Akhir yang akan dikenali sebagai Grand Slam Akhir dengan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS1.5 juta (RM6.6 juta).

Manakala tiga negara yang terpilih menganjurkan Peringkat Kedua ialah China, England dan Indonesia.

Selain Malaysia, China, Denmark, Perancis dan Jepun juga akan menjadi tuan rumah bagi Peringkat Ketiga yang menawarkan hadiah wanga tunai sebanyak AS$700,000 (RM3.1 juta).

- Advertisement -