Oleh Muhammad Aiman

Kejohanan Jeonsa Cup International Challenge 2017 yang berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 Mac melabuhkan tirainya dengan gelaran juara menjadi milik Chelsea Soccer School Hong Kong (kategori B-16) dan wakil Malaysia, Black Tigers FC dari Pulau Pinang (kategori B-14).

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Latihan Jeonsa, Kampung Baru, Chelsea Soccer School menundukkan satu lagi wakil Malaysia dari Negeri Sembilan, Affimaz FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah permainan masa sebenar berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Manakala Black Tigers, dibarisi pemain-pemain dari Sekolah Sukan Pulau Pinang yang menjuarai Jeonsa Cup pada bulan lalu sekali lagi membuktikan keunggulan apabila muncul juara dengan menundukkan kelab Akademi Bolasepak Nasional Indonesia (INFA) 1-0.

Untuk makluman, JCIC 2017 membabitkan penyertaan pasukan-pasukan dari Malaysia (Jeonsa FC, Black Tigers, Affimaz FC, Sanas FC dan TS United), Indonesia (INFA dan DPFF), Hong Kong (Chelsea SS) dan Thailand (Khlongluang FC).

Jeonsa dan pasukan-pasukan dari luar negara itu akan mengambil bahagian di Piala Dunia Remaja, Gothia Cup China pada Ogos nanti.

Presiden Jeonsa, Mohd Arifin Adenan berkongsi rasa besar hatinya dengan kejayaan kelab itu menganjurkan JCIC buat pertama kali sekaligus menyatakan kesediaan kelab itu untuk membawa imej negara di pentas antarabangsa.

ā€œTahniah saya ucapkan kepada kedua-dua Chelsea Soccer School (HK) dan Black Tigers. Ia satu penghormatan besar buat kelab ini menganjurkan pertandingan besar ini dan menarik penyertaan pasukan berstatus antarabangsa yang mana kita namakan sebagai kejohanan pemanas badan sebelum bermain di Piala Dunia Remaja Gothia.

ā€œJCIC 2017 satu platform persiapan terbaik buat semua pasukan. Pemain-pemain yang telah beraksi di sini adalah masa depan bolasepak negara masing-masing. Kita harap ianya Ā memberi manfaat kepada semua pasukan dan InshaAllah Jeonsa sendiri mempersiapkan satu pasukan terbaik untuk membawa cabaran di Gothia,ā€ kata Arifin.

Tambahnya, ā€œKita pernah membawa imej Malaysia di Kejohanan Soong Chin Ling di Beijing tahun lalu, kita muncul naib juara, jadi sudah tentunya saya sasarkan kita mampu berikan tentangan sengit dan sedaya upaya mengharumkan nama Malaysia.ā€

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang JCIC 2017 telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Pemain Professional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail serta CEO Liga Bolasepak Rakyat, Azizul Kamar Abdul Rahman.

 

Bawah 14 Tahun

Juara : Black Tigers (SSN Penang)

Naib Juara : INFA Indonesia

Pemain Terbaik Final : Mohd Hanif Noor Kamal (Black Tigers)

Penjaga Gol Terbaik : Muhammad Fahmi Nur Shahidan (Black Tigers)

Pemain Paling Bernilai : Muhammad Fachril Baihaqi (INFA Indonesia)

 

Bawah 16 Tahun

Juara : Chelsea Soccer School Hong Kong

Naib Juara : Affimas Negeri Sembilan

Pemain Terbaik Final : Mohd Nasrullah Abdul Rahman (Affimas NS)

Penjaga Gol Terbaik : Raja Amir Shah Daniel Raja Azukri (Affimas NS)

Pemain Paling Bernilai : Yu Jesse Jo Yin (Chelsea SS)

- Advertisement -