Oleh Muhammad Aiman

Hanya empat bulan berada di kedudukan nombor satu dunia, gandingan beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem akhirnya melepaskan ‘mahkota’ mereka kepada beregu Indonesia yang muncul juara All England minggu lalu, Gideon Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) pada Khamis menyaksikan Wee Kiong-V Shem yang pertama kalinya melonjak ke kedudukan nombor satu pada November tahun lalu setelah cemerlang meraih pingat perak Sukan Olimpik dan kemudiannya menjuarai Terbuka Denmark, jatuh ke tangga kedua.

“Kami sudah menduga ranking kami akan jatuh selepas gagal menyerlah di All England baru-baru ini. Memang ia situasi yang mengecewakan dan agak membimbangkan kerana kami tidak dapat memberikan prestasi terbaik gara-gara kecederaan buku lali yang saya alami ketika beraksi di Kejohanan Kebangsaan di Perak,” kata V Shem.

Di All England, Wee Kiong-V Shem yang turun selaku pilihan utama kandas di peringkat suku akhir setelah tewas kepada pasangan China, Li Junhui-Liu Yuchen dalam aksi tiga set 19-21, 21-17, 19-21.

Apa sekalipun, V Shem dan Wee Kiong mereka tidak cepat patah semangat dan bertekad bangkit mencatat keputusan positif dalam kejohanan-kejohanan seterusnya bagi merampas semula kedudukan nombor satu dunia. 

Kejohanan terdekat yang akan mereka sertai adalah Terbuka India (28 Mac – 2 April), Terbuka Malaysia (4 – 9 April) dan Terbuka Singapura (11-16 April).

Di India, mereka akan sekali lagi turun sebagai pilihan utama kejohanan dan diundi menentang pasangan bukan pilihan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand di pusingan pertama.

Gandingan baru Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe ataupun Hendra Setiawan-Tan Boon Heong (bebas) akan menanti mereka di pusingan kedua dan seandainya meneruskan kemaraan, Wee Kiong-V Shem akan sekali lagi berdepan Junhui-Yuchen di peringkat suku akhir.

“Perlawanan menentang Junhui-Yuchen memang sentiasa sengit. Kami berikan mereka tentangan hebat di All England tetapi sayang sekali kami tidak konsisten sehingga ke akhir. Jika bertemu lagi dengan mereka di India, kami janji akan beraksi dengan lebih baik,” kata V Shem lagi.

Untuk rekod, di saingan Terbuka India tahun lalu, Wee Kiong-V Shem mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada Gideon Marcus-Kevin Sanjaya.

- Advertisement -